Apabila wang haram dianggap rezeki
LEWAT kebelakangan ini, kita sering dikejutkan dengan penahanan ramai anggota penguat kuasa kerana terlibat dalam aktiviti jenayah. Suspek terdiri daripada anggota polis, kastam dan imigresen.
Semuanya ditahan berhubung kes dadah, peras ugut, rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan autoriti masing-masing.
Tangkapan yang dibuat antara Oktober hingga Disember 2020 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berjumlah 87 anggota dengan 31 daripadanya melibatkan anggota polis, lima anggota kastam dan 50 anggota imigresen.
Penahanan tersebut jelas mencemarkan nama baik agensi penguatkuasaan yang diberi kepercayaan untuk menjaga keselamatan negara. Akibatnya, rakyat hilang hormat, sekali gus menganggap kalangan anggota agensi berkenaan tidak boleh dipercayai sama sekali.
Lebih menyedihkan apabila suspek yang ditahan dalam kalangan individu beragama Islam dan merupakan seorang bapa, suami dan anak kepada kawan, jiran dan saudara mara kita semua.
Walaupun belum terbukti bersalah, namun penahanan mereka itu menunjukkan betapa rapuhnya institusi keselamatan negara kita kerana segelintir anggotanya cenderung melakukan jenayah kerana mempunyai kuasa.
Dek kerana habuan tidak seberapa, suspek sanggup melakukan kecurangan kuasa.
Lebih jijik apabila hasil atau ‘wang haram’ diperoleh daripada aktiviti rasuah, pemerasan dan salah guna kuasa itu dianggap sebagai rezeki, sekali gus mendorong mereka terus-menerus menyalahgunakan kuasa yang ada.
Justeru, sudah sampai masanya agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara ‘dicuci’ daripada kepala hingga ekor bagi memutuskan rantaian dengan penjenayah untuk mengelakkan salah guna kuasa.
Mereka yang bersalah perlu dikenakan tindakan berat agar memberi pengajaran kepada pegawai dan anggota lain.
Selain itu, kerajaan juga perlu mengetatkan syarat pengambilan pegawai dan anggota, buat saringan dua tahun sekali dan mantapkan ilmu agama masing-masing.
Pada masa yang sama, jangan lupa berikan penghargaan kepada mereka yang berkhidmat dengan penuh integriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!