Ustaz Farid Ravi tolak spekulasi jadi calon Umno di Semenyih
SHAH ALAM - Pendakwah terkenal Ustaz Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menolak khabar angin bahawa beliau salah seorang calon yang akan mewakili Umno dalam PRK Semenyih Mac nanti.
Semalam khabar angin tersebar di media sosial mengatakan Farid yang merupakan pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), adalah salah seorang daripada enam nama yang diserah kepada Umno Pusat untuk dinilai menjadi calon BN dalam PRK Semenyih.
Memetik portal Malaysiakini, Farid menolak dakwaan khabar angin itu.
"Saya bukan salah seorang calon dan saya tidak berniat untuk menyertai politik kerana saya mahu memberi tumpuan kepada usaha dakwah," katanya.
Anak jati Kampung Sungai Choh, Rawang Selangor itu juga mengatakan tiada seorang pun dari Umno yang datang bagi berbincang mengenai dirinya menjadi salah seorang calon PRK Semenyih.
"Tiada siapa yang datang dan bertanya kepada saya sama ada saya mahu bertanding atau tidak, jika benar, saya akan mendedahkan niat saya kepada media, saya tidak ada apa-apa untuk disembunyikan," katanya.
Farid Ravi yang juga Tokoh Maal Hijrah kebangsaan memberitahu berikutan khabar angin itu, beliau memperoleh banyak mesej Whatsapp dari rakan-rakan bertanyakan kesahihan perkara itu.
"Mereka menghantar gambar tangkap layar dari Facebook dan Instagram mengenai khabar angin itu yang disertakan bersama gambar saya termasuk satu foto saya dengan keluarga," katanya.
PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.
Pada pada PRU14, Bakhtiar, dari Bersatu menang kerusi Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM).
Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.
Hari penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan pada 16 Februari ini, manakala tarikh pengundian awal pada 26 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!