Jangan relakan nyawa direntap Covid-19
HARI ini sudah tentu ramai dalam perjalanan pulang ke kampung halaman terutama bagi mereka yang bermastautin di Selangor kerana cuti umum.
Pengumuman rentas negeri dan daerah dibenarkan bermula pada Isnin lalu memberi kesempatan kepada warga bandar untuk menjenguk orang tua di kampung.
Namun, awas! Kepulangan anda bukan sekadar memberi kegembiraan kepada ayah bonda sekeluarga, malah boleh bertukar derita, bahkan lebih buruk menjadi sejarah hitam dalam hidup. Tiada sesiapa pun yang merelakan nyawa direntap virus Covid-19 yang mengganas. Tiada!
Setakat ini angka kematian berkaitan Covid-19 di Malaysia mencecah hampir 400 kes dan hampir setiap hari sejak gelombang ketiga, ada sahaja kes kematian direkodkan.
Jika sebelum ini kes kematian banyak dilaporkan di Sabah, namun sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kes direkodkan di Semenanjung Malaysia dan kebanyakannya melibatkan warga emas.
Tak terbayang sekiranya kepulangan ke kampung halaman menyebabkan kehilangan orang tua buat selama-lamanya. Sudah tentu perasaan bersalah menyelubungi hidup sepanjang hayat.
Justeru, tetapkan disiplin diri dengan terus jadikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai sanda-ran hidup bahawa kita kini telah berkongsi kehidupan bersama virus Covid-19 yang melata.
Saban hari, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah jemu menekankan SOP yang perlu diamalkan segenap lapisan masyarakat.
Sekiranya anda penonton setia sidang media Covid-19, sudah tentu nasihat elakkan 3S (Sesak, Sempit, Sembang dekat) dan amalkan 3W (Wash, Wear, Warn) yang diratib Dr Noor Hisham tersemat dalam minda.
Komitmen
Covid-19 tidak mengenal darjat keturunan mahupun usia. Daripada usia bayi sehingga warga emas, ia menjadi sasaran tanpa pengecualian. Banyak kluster terbentuk hasil daripada perhimpunan sosial seperti majlis keraian dan upacara keagamaan kebelakangan ini yang tidak mematuhi SOP.
Contohnya, Kluster Enggor di Perak dan Kluster Indah Mas di Kuala Lumpur serta Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya telah merebak dalam komuniti. Selain itu, Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian.
Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pula berpunca daripada upacara keagamaan membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.
Harapan kita untuk melihat angka sifar maut akibat Covid-19 dan kes baharu pada satu digit masih samar. Perjalanan itu masih jauh.
Itu semua memerlukan komitmen kita yang perlu bergandingan menjadi barisan paling hadapan berperang menentang musuh tidak kelihatan.
Tanggungjawab tidak lagi tergalas pada bahu petugas kesihatan. Cukuplah, mereka sangat lelah setelah hampir 11 bulan bertungkus lumus menyelamatkan pesakit sehingga mengetepikan kepentingan diri dan keluarga. Terasa perit apabila seorang doktor dilapor terpaksa mengambil ubat tidur kerana kepenatan yang terlampau dan tidak cukup rehat akibat bekerja lebih masa.
Dr Noor Hisham juga pernah mengakui beliau juga sukar melelapkan mata pada waktu malam kerana bekerja mencari penyelesaian untuk memastikan keselamatan setiap nyawa rakyat tercinta.
Tidak hairanlah jika sekitar jam 3 atau 4 pagi pun tatkala kita lena dibuai mimpi di atas tilam empuk, beliau masih lagi bekerja dan membuat hantaran di laman sosial.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan bahawa kelonggaran merentasi negeri bukanlah lampu hijau untuk semua alpa. Ia juga bukanlah bermakna pandemik Covid-19 sudah berakhir.
KKM menjangkakan peningkatan kes dalam tempoh 14 hari akan datang atau empat minggu berikutan kelonggaran merentas negeri dan ia tidak mustahil berlaku.
Cukuplah! Kita tidak mahu Covid-19 mendekati individu yang kita sayangi. Marilah bersatu berganding menentang Covid-19. Hanya amalan SOP mampu menyelamatkan kita menjadi mangsa virus jahat itu.
* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah Wartawan Edisi Nasional Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!