Gangguan air di 38 kawasan Sabak Bernam
KUALA LUMPUR - Sebanyak 38 kawasan di Sabak Bernam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 10 pagi, 16 Disember dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 2 pagi, 17 Disember ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, gangguan tersebut berlaku kerana kerja-kerja penggantian enam unit injap di Jalan Besar Belia dan pemasangan injap baharu di Parit 13, Sungai Panjang.
Menurutnya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan.
“Pelaksanaan kerja-kerja ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penambahbaikan infrastruktur injap tersebut adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan.
Tambahnya, pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
“Pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!