Kim Swee pertahan konsep skuad projek FAM-MSN
PETALING JAYA - Bekas ketua jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee mempertahankan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) membentuk Skuad Projek FAM-MSN beraksi dalam saingan Liga Premier bermula musim depan.
Penolong Pengarah Teknikal FAM itu percaya skuad bimbingan Yusry Che Lah itu mampu menghasilkan keputusan positif dalam jangka masa empat tahun jika beraksi secara konsisten dalam kancah liga itu.
Kim Swee optimis cabaran beraksi dengan pemain import seawal usia 18 tahun mampu diatasi, malah beliau mengambil contoh skuad program Harimau Muda yang turut bersaing bersama pemain import.
“Kalau kita lihat program Harimau Muda dulu pemain berentap dengan pemain import, kini tanpa pemain import dan hanya dengan pemain muda kita mampu bersaing. Saya tidak katakan pemain (Skuad Projek FAM-MSN) akan dibelasah atau menjuarai (sebarang kejuaraan). Tetapi tujuan kita adalah untuk mendedahkan mereka di peringkat lebih tinggi.
“Saya percaya pasukan ini akan bertambah baik selepas tahun kedua, ketiga dan kemungkinan kita boleh capai kejayaan pada tahun seterusnya,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman pasukan itu di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, semalam.
Menurut Kim Swee, barisan pemain muda memerlukan pendedahan di peringkat tinggi dalam pembangunan karier dan intensiti saingan Liga Premier dilihat paling ideal berbanding Liga Super atau saingan Piala Presiden mahupun Piala Belia.
“Kita tahu Liga Premier merupakan satu tahap yang boleh dikatakan kompetitif untuk pemain berusia 18, 19 dan 20 tahun,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, kesemua pemain Skuad Projek FAM-MSN akan dibentuk sebaiknya sekali gus dapat memberi lebih banyak pilihan pemain kepada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan dalam misi melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris 2024.
Skuad Projek FAM-MSN yang diumumkan secara rasmi semalam, merupakan usaha mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.
Ia akan dibarisi seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah PPBN akan membentuk skuad perintis tersebut bermula Januari depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!