Covid-19: Polis ingatkan pengunjung Pasar Besar Alor Setar

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (kanan) membantu seorang kanak-kanak memakai pelitup muka pada Program Konvoi Motosikal Hihg Profile Policing Ketua Polis Daerah Kota Setar di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (kanan) membantu seorang kanak-kanak memakai pelitup muka pada Program Konvoi Motosikal Hihg Profile Policing Ketua Polis Daerah Kota Setar di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis mengingatkan pengunjung Pasar Besar Alor Setar supaya tidak alpa terhadap Covid-19 dan usaha memutuskan rantaian penularan pandemik itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, setakat ini pihaknya mendapati kesemua pengunjung masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk pihak Pasar Besar Alor Setar.

"Saya dapati mereka masih mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan dan kita ucapkan tahniah kepada orang Alor Setar serta pengunjung.

"Berdasarkan pemerhatian, mereka didapati memakai pelitup muka cuma saya agak bimbang terhadap penjarakkan fizikal ketika kesesakan di pasar besar ini," katanya kepada pemberita selepas Program Konvoi Motosikal Hihg Profile Policing Ketua Polis Daerah Kota Setar di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh.

Tambah Ahmad Shukri, pihaknya mendapati kes-kes pelanggaran SOP di daerah itu makin berkurangan namun masyarakat berkemungkinan alpa dan leka untuk menjaga jarak fizikal ketika kesesakan pasar.

Justeru beliau berharap, pengunjung Pasar Besar Alor Setar sentiasa memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mendaftar di MySejahtera apabila memasuki premis.

Dalam pada itu katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berakhir pada 31 Disember depan tetapi pihaknya telah menamatkan sekatan jalan raya di daerah tersebut sejak 6 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!