141 lagi pesakit Covid-19 warga asing dijangka tiba di Sukpa
KUANTAN - Seramai 141 pesakit Covid-19 warga asing dijangka tiba di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) di sini, kira-kira jam 5 petang nanti.
Pengarah Majlis Keselamatan Negera (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, mereka bakal menjalani rawatan di stadium itu yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) pesakit bukan warganegara berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.
Menurutnya kesemua warga asing tersebut daripada Kluster Genting; Ria Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut di daerah Bentong.
"Selain pesakit dari Bentong, Sukpa juga bakal menempatkan pesakit warga asing berisiko rendah dari daerah lain," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, (JKNP) Datuk Dr Bahari Tok Muda dalam satu kenyataan berkata, Sukpa dipilih sebagai PKRC kerana kemudahan asas yang mencukupi untuk merawat kes Covid-19 asymptomatic atau dengan gejala ringan dalam jumlah yang besar iaitu seramai 50 hingga 200 orang.
Sukpa juga berdekatan dengan hospital berpakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre University Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) Kuantan yang mempunyai kepakaran dan peralatan yang mencukupi untuk rawatan kes kritikal.
"Lokasi Sukpa di atas tempat berbukit memudahkan kawalan keselamatan oleh anggota keselamatan yang bertugas ke atas kes-kes tersebut dan rawatan kepakaran kepada rakyat Pahang tidak terjejas di mana pakar-pakar di HTAA dan SASMEC seperti
pakar jantung, pakar bedah dan lain-lain terus memberi rawatan kepakaran kepada kes-kes warga tempatan.
"Begitu juga perkhidmatan lain di hospital dapat terus dilaksanakan sepertimana biasa. PKRC Sukpa akan bertindak membantu rawatan Covid-19 negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!