Keputusan tepat Inix terokai industri sarung tangan getah
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Keputusan Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) menerokai industri sarung tangan getah adalah tepat pada masanya dan mampu menjana pulangan kepada syarikat sebaik dimuktamadkan.
SJ Securities Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, sekiranya pengambilalihan dua syarikat pengeluar dan pengedar sarung tangan berjaya direalisasikan, Inix berada dalam posisi yang baik untuk meraih manfaat daripada pengeluaran sarung tangan getah.
Menurut kenyataan itu, tidak seperti penyertaan baharu tertentu yang memerlukan masa menunggu yang tidak produktif sebelum pengeluaran boleh dimulakan.
"Inix sebaliknya menyertai industri ini dengan sudah pun mempunyai akses kepada pengeluaran aktif berserta pensijilan dan pelesenan sedia ada, ditambah dengan saluran pengedaran global yang sudah sedia ada.
"Ia digabungkan dengan rancangan pengembangan Inix yang menyasarkan untuk mengatasi kekurangan bekalan sarung tangan getah global, kami berpandangan bahawa pelaburan ini dibuat tepat pada masanya dan mampu menjana pulangan kepada syarikat ini pada masa depan. Oleh itu, kami positif terhadap unjuran pertumbuhan Inix," katanya di sini hari ini.
Inix pada Jumaat lalu membeli 51 peratus kepentingan dalam pengeluar sarung tangan getah, L&S Gloves Sdn Bhd (L&S Glove).
Ia adalah langkah terkini dibuat kumpulan itu untuk memasuki sektor sarung tangan getah.
Kumpulan itu kemudiannya mengukuhkan lagi kehadirannya dalam sektor berkenaan menerusi pengambilalihan 51 peratus kepentingan World Gloves International Group Sdn Bhd (WGI) pada Selasa lalu.
Pengambilalihan kedua-dua syarikat berkenaan melengkapkan rantaian bekalan Inix dalam industri sarung tangan getah apabila kini memiliki keupayaan bukan sahaja sebagai pengeluar, tetapi juga pengedaran sarung tangan getah.
Penilaian firma sekuriti ini adalah berdasarkan maklumat yang ada dan optimistik mengenai prospek harga saham Inix.
Berdasarkan perolehan sesaham 10.6 sen dan 17 kali nisbah perolehan harga, maka harga sasarannya ialah RM1.80 sesaham.
BERITA BERKAITAN: Inix beli 51 peratus kepentingan dalam WGI
BERITA BERKAITAN: Inix beli 51 peratus kepentingan dalam L&S Gloves
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!