Pendidikan dalam talian tugas mencabar

Hassan Nudin (tengah) ketika mengupas isu pada Wacana al-Quran bertajuk 'Kelas Online: Makin Mudahkah Kerja Guru?' yang disiarkan secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Hassan Nudin (tengah) ketika mengupas isu pada Wacana al-Quran bertajuk 'Kelas Online: Makin Mudahkah Kerja Guru?' yang disiarkan secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Pengajaran atau pendidikan secara dalam talian (online) merupakan satu tugas yang amat mencabar dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan guru bagi memastikan pengajarannya berkesan kepada anak-anak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Hassan Nudin A Hamid berkata, sekiranya kerjasama itu tidak wujud, ia akan menyukarkan keadaan.

Katanya, tambahan lagi terdapat banyak kekangan lain khususnya dari segi penggunaan peranti.

"Kita faham mungkin sebuah rumah hanya ada satu peranti dan anak-anak pula ada lebih daripada seorang. Sudah tentu ia tidak cukup. Tambah pula kelas online biasanya berjalan serentak. Itu satu cabaran.

"Jadi bagaimana kita boleh jadikan cabaran itu untuk menghasilkan impak yang besar. Maka kerjasama semua pihak inilah yang diperlukan agar pelaksanaan pendidikan secara online dapat dibuat dan anak-anak juga dapat belajar serta menerima pendidikan yang diajar oleh guru-guru," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana al-Quran bertajuk 'Kelas Online: Makin Mudahkah Kerja Guru?' yang disiarkan secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Wacana tersebut turut menampilkan Presiden Murshid, Multaqa Asatizah dan pendakwah Malaysia, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim.

Fazrul Ismail pula bertindak sebagai moderator, manakala qari, Ustaz Tirmizi Ali memperdengarkan bacaan surah al-Alaq (ayat 1-8) dan surah al-Mujadalah (Ayat 11).

Sementara itu, Hassan Nudin berkata, gangguan internet merupakan cabaran terbesar kepada guru-guru kerana ia boleh menjejaskan keberkesanan pembelajaran dalam talian kepada murid-murid.

Artikel Berkaitan:

"Jika mengajar di kelas, guru-guru boleh buat persiapan awal tetapi jika secara online dan ada gangguan, agak sukar untuk menanganinya.

"Namun pada waktu pandemik Covid-19 ketika ini, pendidikan online dilihat sebagai alternatif terbaik bagi pendidikan yang kita tidak dapat melaksanakan secara bersemuka dan paling penting untuk memastikan anak-anak tidak tertinggal pelajaran," katanya.

Selain itu, beliau berkata, dalam proses untuk menyampaikan pendidikan secara dalam talian juga, guru-guru perlu membuat penilaian kepada anak-anak murid dengan melakukan soal jawab untuk melihat keberkesanan ilmu yang disampaikan.

"Ini kerana mereka mengajar hanya dengan melihat anak-anak murid di paparan skrin. Jadi mesti diuji dan dinilai.

"Sebelum memulakan pengajaran online juga, guru-guru perlu mengingatkan dan menanamkan nilai-nilai dalam kalangan anak murid yang perlu mereka utamakan. Ini supaya tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut selain perlu jujur, menepati masa serta sentiasa fokus sewaktu sesi pengajaran berlangsung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!