Hamzah cadang gagasan besar tiga gabungan parti
SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan satu gagasan besar ditubuhkan bersama antara Gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata, dengan termeterainya piagam itu, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh.
Malah, katanya, ia dapat mencerminkan keupayaan gagasan itu untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat pada masa hadapan.
“Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, saya mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama kerajaan pimpinan PN hari ini iaitu PN, BN dan juga GPS.
“Gagasan ini juga bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya. Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.
“Gagasan ini mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum mahupun agama.
“Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara yang lebih baik, insya-ALLAH tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Hamzah berkata, pembahagian jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar juga perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh.
Menurutnya, perkara tersebut turut dipengaruhi oleh keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri yang terlibat.
“Contohnya di negeri Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik Bersatu memandangkan jawatan ini telahpun dijawat oleh wakil Bersatu sebelum pembentukan kerajaan PN.
“Sementara di Johor, jawatan Menteri Besar telah dipersetujui untuk diserahkan kepada UMNO walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik Bersatu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada UMNO adalah sebanyak empat buah negeri termasuk di Melaka, Perlis dan Pahang.
“Bagi Pas pula, persetujuan telah dicapai untuk wakil Pas mengetuai kerajaan di tiga buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah; manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, persefahaman politik itu telah terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PN yang sekarang ini.
“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN telah menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan telah dicapai untuk wakil Bersatu menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Sabah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!