Siti Nurhaliza nafi tanding PRK Semenyih
SHAH ALAM - Desas-desus mendakwa penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kononnya akan bertanding sebagai calon PH pada PRK Dun Semenyih akhirnya terjawab, apabila tuan empunya diri menafikan dakwaan itu.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Siti berkata, dirinya tiada kaitan dengan PRK berkenaan.
"Saya bukan calon bertanding , saya cuma kayuh je," katanya.
Dalam perkongsian itu, Siti turut berkongsi gambar beliau berkayuh basikal bersama suami serta rakan-rakan di kawasan Semenyih.
"30 kilometer, empangan Semenyih, Sungai Tekala, #bukanDunSemenyih," katanya lagi.
Baru-baru ini tular dalam media sosial mengaitkan pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu sebagai calon PH dalam PRK Dun Semenyih.
PRK Dun Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini diadakan setelah wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.
Pada PRU14, 9 Mei lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat itu mengalahkan Johan, wakil rakyat dua penggal Dun Semenyih, dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.
PRK Dun Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!