Remaja lemas jatuh sampan
BEAUFORT - Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas sampan dinaikinya dimasuki air dalam kejadian di Sungai Padas, di Kampung Bingkul, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Andreanus Ola Kian, 18, dipercayai dibawa arus selepas terjatuh dari sampannya dan setakat ini belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati, pada hari sama kira-kira jam 3.30 petang, mangsa pergi ke rumah rakannya yang terletak di seberang sungai berkenaan dengan berjalan kaki melalui jambatan Bingkul.
"Bagaimanapun, ketika pulang mangsa menggunakan sampan untuk menyeberang dan sebaik tiba di tebing sungai berhampiran rumahnya, sampannya tiba-tiba dinaiki air dan mangsa terjatuh ke sungai.
"Mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan didengari oleh abangnya yang kemudian bergegas cuba menyelamatkan mangsa yang tidak pandai berenang namun mangsa dipercayai sudah dibawa arus deras sungai terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azmir berkata, mangsa yang memakai baju T berwarna hitam dan seluar jeans pendek belum ditemui sehingga kini.
"Ketika kejadian, air sungai dalam keadaan deras dan melimpah ke tebing akibat hujan lebat.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada 7.30 malam dan disambung semula pagi tadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!