Mayat Naib Ketua Armada, Mohd Zulfikrie ditemui

Anggota bomba mengangkat mayat Mohd Zulfikrie (gambar kecil) yang ditemukan di kawasan berbatu pada hari ini selepas hilang di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.
Anggota bomba mengangkat mayat Mohd Zulfikrie (gambar kecil) yang ditemukan di kawasan berbatu pada hari ini selepas hilang di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Mayat Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi, Mohd Zulfikrie Buang ditemui pada jam 3 petang hari ini di kawasan berbatu menghala ke tanjung Lompat Jarak.

Dalam kejadian pada jam 5.05 petang, Mohd Zulfikrie, 24, yang sebelum itu berada di perancah di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam laut semasa membaiki kerosakan di jeti tersebut.

Mohd Zulfikrie juga dikatakan mahu mengambil selipar yang terjatuh sebelum ditarik ombak dalam keadaan hujan lebat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, mayat Mohd Zulfikrie ditemui kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, seramai 36 anggota antaranya dari BBP Penawar, polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak semalam.

"SAR disambung semula pada jam 6.30 pagi ini dengan keluasan kawasan melibatkan kira-kira 4 kilometer," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Buang Bujang, 57, yang berada di jeti tersebut sejak Mohd Zulfikrie hilang reda dengan kejadian itu.

Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu anak kedua daripada tiga beradik itu pada pagi semalam dan mereka berbual-bual seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Arwah yang masih belum berkahwin tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik, semuanya seperti biasa sahaja. Kami sekeluarga menerima ketentuan ALLAH," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang ketika baiki jeti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!