Remaja diraba ketika keluar beli burger
BUTTERWORTH - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dicabul oleh seorang penunggang motosikal dengan cara meraba dadanya dalam kejadian di tepi lorong Taman Sungai Dua Utama, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada jam 9 malam itu mangsa yang juga menunggang motosikal sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli burger di Taman Desa Murni sebelum menyedari dia diekori seorang lelaki bermotosikal.
Menurutnya, mangsa memberhentikan motosikal di tepi jalan bagi membiarkan suspek beredar.
“Bagaimanapun, selepas meneruskan perjalanan, suspek yang datang dari arah belakang terus meraba dadanya menyebabkannya menjerit dan suspek melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa sempat mengambil nombor pendaftaran motosikal dan mengecam wajahnya kerana suspek tidak memakai topi keledar serta pelitup muka.
Katanya, mangsa menceritakan kejadian itu kepada bapanya sebelum mereka menemui suspek berdekatan sebuah kedai tayar di taman perumahan sama.
“Bertindak daripada laporan dibuat mangsa, polis kemudian menahan suspek yang berusia 40 tahun dan sudah berkahwin. Siasatan mendapati suspek bekerja di sebuah pusat cuci kereta dan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Suspek direman dan disiasat di bawah Seksyen 14(1) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!