Terkandas PKPB, 'Spiderman' jual teh ais di Port Dickson
PORT DICKSON - Jika sebelum ini ada Spiderman di Kelantan, Perlis dan Kuantan yang menjual teh ais, kini watak adiwira terkenal dunia itu muncul di Port Dickson dengan menjual 'pati teh ais Spiderman'.
Kostum Spiderman itu dipakai Muhamad Effendi Zubir, 35, untuk menarik pelanggannya membeli teh ais sejak semalam.
Menariknya idea untuk berniaga itu timbul selepas pemuda yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu terkandas di rumah adik iparnya di Port Dickson susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Oktober lalu.
"Saya berniaga teh ais di Alor Setar, Kedah selama dua tahun dengan seorang rakan tetapi terpaksa bercuti kerana mahu menziarahi adik di Port Dickson.
"Disebabkan kes Covid-19 di negeri Kedah pada waktu itu agak tinggi, PKPB dilanjutkan dan saya membuat keputusan untuk tinggal di Port Dickson," katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Spiderman' jual belon dengan bayaran seikhlas hati
Tarik pembeli durian dengan kostum Spiderman
Spiderman jual petai di Slim River
Sepanjang berada di Port Dickson, dia terputus sumber pendapatan dan timbul idea untuk menjual teh ais yang diusahakan bersama adik-beradiknya termasuk adik ipar.
Menurutnya, disebabkan ramai peniaga yang menjual air yang sama, mereka melakukan kelainan dengan 'menempatkan' Spiderman bagi menarik pelanggan.
Usaha itu ternyata berhasil kerana pada hari pertama percubaan mereka di Port Dickson, sebanyak 50 botol air pada harga RM10 sebotol berjaya dijual.
"Teh ais ini berbeza di tempat lain kerana saya jual pati teh ais. Daripada satu botol ini pelanggan boleh dapat lima gelas air teh dan ia berbaloi," katanya.
Muhamad Effendi berkata, dia tidak kisah memakai kostum Spiderman lebih empat jam sehari bermula jam 12 tengah hari hingga 7 petang kerana mampu memberi keseronokan kepada pelanggan.
"Saya anggap pemakaian kostum ini sebagai teknik pemasaran. Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa pun berminat membeli sambil bergambar.
"Sekarang ini macam-macam cara orang berniaga. Yang penting jangan ada rasa malu. Apabila berniaga jangan ada rasa dengki walaupun orang lain berniaga benda yang sama dengan kita. Paling penting yakin dengan rezeki ALLAH," katanya.
Muhammad Effendi juga berkata, dia tidak mahu tarikan hanya terletak pada kostumnya semata-mata tetapi perlu ada kualiti rasa pati teh ais.
ARTIKEL BERKAITAN: Spiderman kutip sampah di jalan, tepi pantai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!