Rakyat Selangor dinasihat tangguh hasrat pulang ke kampung
SHAH ALAM - Penduduk di Selangor yang ingin pulang ke kampung halaman disaran supaya menangguhkan dulu hasrat mereka bagi menggelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan golongan berisiko.
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun seseorang individu itu mungkin tidak bergejala atau 'asymptomatic', namun mereka dibimbangi menjadi pembawa kerana negeri ini masih berada dalam zon merah dan turut terdedah kepada persekitaran tempat tinggal pekerja.
Beliau berkata, hampir 90 peratus kes baharu yang direkodkan di negeri ini terdiri daripada kluster tempat kerja; antaranya seperti Seruling, Hentian, Teratai, Perigi, Bah Manggis, Usaha dan Sri Jujur.
"Terkini, punca utama kes mencanak naik di Selangor adalah disumbangkan dari Kluster Seruling (842 kes) dan Kluster Hentian (315), manakala selebihnya adalah dari punca kes tak ada kaitan dengan kluster atau 'unlinked cases' yang berlaku secara 'sporadik-spontan' dalam komuniti.
"Maka, amat mustahak untuk warga Selangor supaya mengekang kehendak pulang ke kampung dan merentas daerah atau negeri kerana kita akan bawa pulang virus ini ke kampung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr Dzulkefly yang juga merupakan bekas Menteri Kesihatan berkata, STFC telah mengemukakan satu program baharu yang menggunakan kaedah berlainan bagi menangani penularan wabak berkenaan di tempat kerja khasnya dengan mewujudkan jalinan kerjasama pintar secara sukarela dikenali sebagai Preventing Outbreak on Ignition Sites (Poise).
Melalui kaedah itu, katanya, majikan akan menjalankan beberapa langkah kesihatan awam yang dirancang oleh STFC; antaranya seperti mewujudkan 'internal-bubbles' dan kekangan pergerakan bagi mengelakkan kontak dan penularan, ujian awal pantas dan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) lain.
"Ini termasuk memanfaatkan aplikasi SElangkah kami yang menawarkan integrasi perantaraan sistem bagi penjejakan kontak, ujian saringan pantas, diagnosis, laporan serta pemantauan bersepadu.
"Langkah ini juga akan dapat mengurangkan lambakan ujian atau 'backlogs testing' terutama ketika kes mencanak naik dalam komuniti," katanya.
Tambah Dzulkefly, sebelum ini, STFC turut menjalankan ujian secara bersasar melibatkan beberapa lokasi taman di Meru, Klang dan hampir 44.5 peratus penduduk telah disaring.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!