Pasar Payang kembali meriah
KUALA TERENGGANU - Walaupun kehadiran pengunjung tidak sehebat sebelum negara dilanda Covid-19, kebanyakan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang di sini bersyukur kerana jumlah pelanggan minggu ini bertambah berbanding minggu-minggu sebelumnya.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi tumpuan pelancong itu mendapati orang ramai telah mula memenuhi Pasar Payang hari ini sejak jam 9 pagi tadi.
Selain mencari barangan kering, pakaian dan kuih muih di Pasar Payang, kebanyakan mereka juga turut mendapatkan bahan mentah seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan.
Seorang pekerja kedai pakaian,Nusrah Razali, 21, berkata, kehadiran pengunjung di situ bertambah sejak semalam.
"Pada sebelah pagi Khamis (semalam) kunjungan pelanggan agak perlahan. Jumlah mereka bertambah selepas jam 11 tengah hari.
"Hari ini jumlah pelanggan agak ramai juga berbanding Jumaat minggu lalu. Pelanggan ada sampai ke petang. Minggu lalu, lokasi perniagaan ini hanya ada pelanggan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari sahaja. Sebelah petang sudah tiada pelanggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, kehadiran pengunjung yang dianggarkan meningkat 20 hingga 30 peratus minggu ini memberi khabar gembira buat kebanyakan peniaga di situ.
"Misalnya, kebiasaan jualan kita dapat dalam RM5,000 sebelum Covid-19, minggu ini dapatlah dalam RM1,000 berbanding musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu nak dapat RM100 pun susah.
"Tambahan pula waktu PKP dulu banyak kedai yang tutup tidak beroperasi kerana tiada pelanggan," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Che Norshaffika Che Abdul Hadi, 30, berkata, walaupun kunjungan pelanggan tidak semeriah sebelum Covid-19, pertambahan pengunjung merupakan berita baik kepada peniaga.
"Kalau ikutkan jumlah pengunjung tidak banyak beza berbanding minggu lalu tetapi minggu ini suasana di sini nampak lebih meriah.
"Mungkin disebabkan kes Covid-19 masih belum habis lagi orang ramai masih khuatir untuk bergerak bebas," katanya yang berniaga makanan kering di Pasar Payang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!