Warga Pakistan rasuah pegawai Imigresen dijel, denda RM10,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM10,000 ke atas seorang lelaki warganegara Pakistan yang mengaku bersalah memberi suapan berjumlah RM12,500 kepada seorang pegawai imigresen sebagai upah membantu melepaskan 21 warga asing pulang ke negara asal, bulan lepas.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan peniaga kain, Muhammad Irfan, 34, yang ditahan semasa Op Selat, menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan menambah hukuman penjara 30 hari lagi jika tertuduh gagal membayar denda.

Muhammad Irfan didakwa memberi suapan berjumlah RM12,500 kepada seorang pegawai imigresen daripada Unit Kawalan Pintu Masuk Udara di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sebagai upah untuk pegawai tersebut membantu melepaskan kesemua warga asing terbabit pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta berhadapan restoran di Jalan P8G1, Presint 8, Putrajaya antara 3.25 hingga 3.32 petang, 16 November lepas.

Pertuduhan berkenaan adalah pertuduhan pilihan kepada tertuduh mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya. Pertuduhan asal ke atas tertuduh adalah di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat daripada SPRM berkata, tertuduh di dalam kes ini bernasib baik kerana ditawarkan dengan pertuduhan pilihan, namun mahkamah perlu mempertimbangkan faktor kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman.

"Kes ini melibatkan keselamatan awam dan tertuduh berani mempertaruhkan diri dengan membuat proses pengeluaran 21 pendatang asing tanpa izin yang tinggal lebih masa di negara ini. Mohon dia dikenakan hukuman penjara dan denda bagi mencerminkan keseriusan kes selain memberi pengajaran kepadanya dan mesej kepada orang ramai di luar sana,” kata Mahadi.

Muhammad Irfan yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung keluarga serta empat anak selain memaklumkan kepada mahkamah bahawa urusan kelahiran bayinya yang baru lahir dua hari lepas masih belum dibuat.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, pada 15 November lepas, tertuduh telah menghubungi seorang pegawai imigresen yang merupakan ejen penyamar melalui aplikasi WhatsApp dengan memohon bantuannya untuk melepaskan 21 warga asing itu dan melalui aplikasi berkenaan, tertuduh menawarkan sejumlah wang rasuah sebagai upah kepadanya.

Siasatan juga menunjukkan tertuduh telah menjadi ejen warga asing dan menjalankan kegiatan ini sejak Oktober lepas.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang lelaki warga Bangladesh Ahmmed Md Rana, 37, didakwa memberi suapan berjumlah RM8,500 kepada pegawai imigresen sama sebagai upah untuknya melepaskan lapan warga Bangladesh pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat sama dan tarikh sama antara 6.10 sehingga 6.15 petang, mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga didakwa atas pertuduhan pilihan membabitkan kesalahan sama pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Azura Alwi berikutan tertuduh tidak faham pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Malaysia.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin warganegara Malaysia sementara menunggu pertuduhan dibacakan semula terhadap lelaki itu oleh jurubahasa Bangladesh, Isnin depan.

- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!