Rasuah tidak pernah hilang

A
A
A

“TU dia, umur 26 tahun pun sudah makan suap,” kata Pak Din ketika sedang enak melahap roti canai garing Pak Anjang di Pasar Guar Chempedak.

“Ramai juga yang kena tangkap disyaki terima rasuah,” kata saya pula yang sentiasa sahaja singgah di kedai Pak Anjang dan terserempak dengan Pak Din.

Sejak berhenti daripada kegiatan aktivis, begitulah hari-hari kerja Pak Din. Ada juga saya bertanya perkembangan terbaharu beliau. Katanya, tolong bini jual produk kecantikan.

“Tapi itulah, tak akan jadi kalau tak ada contoh. Bak kata pepatah, rebung tidak jauh daripada rumpun,” kata Pak Din.

“Apa maksudnya tu Pak Din?” tanya saya ingin tahu.

“Ala, maksudnya lebih kurang sama sahaja dengan bapa borek anak rintik. Mesti ada contoh teladannya. Kalau kepala pun begitu, mesti kaki mengikutnya,” kata Pak Din sinis sambil berfalsafah.

Sejak-sejak akhir ini banyak berita tangkapan rasuah dan paling kita risau ia melibatkan segelintir penjawat awam yang memang menjadi harapan rakyat jelata.

Saya ada membaca statistik di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan tangkapan rasuah dan data pesalah rasuah. Ramai juga.

Artikel Berkaitan:

Jika melibatkan data tangkapan rasuah, walaupun tidak semestinya bersalah selagi tidak didapati bersalah, namun boleh mencemarkan imej.

Mungkin persepsi orang akan berkata, pokok tidak akan bergoyang kalau tidak ditiup angin.

Pada tahun 2020 sehingga Disember, ramai melibatkan penjawat awam. Pada November 2020, ia melibatkan 65 orang penjawat awam. Pada bulan lain pun masih ada penjawat awam yang terlibat.

Bagi statistik data pesalah rasuah pada tahun 2020, seramai 24 orang melibatkan penjawat awam. Pada tahun 2019, seramai 63 orang dan pada tahun 2018, seramai 69 orang.

Ia sedikit sebanyak mencemarkan imej kerajaan dan kepada mereka yang memang bekerja dengan jujur serta amanah.

Jika melihat Indeks Persepsi Rasuah (IPR) di Malaysia yang ditulis dalam satu artikel pada tahun 2014 - merujuk kepada Transparency International pun dikatakan tidak banyak berubah, malah aktiviti rasuah dikatakan semakin meningkat.

Sebab musabab melakukan rasuah perlu dikaji. Kalau tengok sepintas lalu, nampaknya ramai ingin menjadi kaya cepat.

Kalau tidak, masakan penerima rasuah mempunyai harta benda mewah walaupun pendapatan mereka tidak menunjukkan begitu.

Hukum

“Aku rasa mereka ini perlu dihukum dengan lebih berat. Kau tengoklah sudah berapa lama tetapi masih berleluasa orang makan suap. Bukan sahaja penjawat awam, orang awam, yang kerja swasta pun ramai terlibat,” kata Pak Din lagi.

Dua roti canai sudah habis ditelan Pak Din. Teh ais pula masih berbaki separuh gelas. Sekali sekala dia menjeling telefon bimbit di atas meja untuk melihat waktu.

“Tak mahu tambah lagi Pak Din?” tanya saya.

“Dah kenyang, lagipun aku nak beli ikan. Bini aku pesan tadi. Nanti tertunggu-tunggu pula dia,” kata Pak Din dengan penuh kejujuran.

Tiba-tiba telefon berbunyi.

“Alamak!” jerit Pak Din.

“Awatnya Pak Din?,” tanya saya.

“Bini aku telefon. Mesti dia bising sebab aku lambat,” kata Pak Din cemas.

“Nanti aku jawab, beritahu dia kau ajak minum ya? Aku beritahu yang kau berminat nak beli produk krim pencerah muka ya?” pinta Pak Din dengan penuh harapan.

“Mana boleh Pak Din, tak baik tipu,” kata saya mengusik.

“Ala, aku bayar roti canai kau tu nanti,” kata Pak Din.

“Ini rasuah!” kata saya.

Pak Din terkebil-kebil. Tangannya terketar-ketar memetik butang untuk menjawab panggilan. Semangat aktivis hilang ditelan zaman, hanya dek kerana panggilan bini tercinta.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!