Membina generasi baharu

A
A
A

MENELITI tajuk utama sebuah akhbar atau menonton program berita ketika kita diduga dengan pandemik Covid-19, sudah cukup untuk memberikan kita inspirasi agar melakukan banyak perancangan pembangunan bangsa kita semula terutama dalam membangunkan satu generasi baharu mulai sekarang.

Ia sebagai satu percubaan bagi mengatasi segala krisis dan penyakit masyarakat yang sedang kita hadapi ketika ini seperti yang tergambar dalam perilaku generasi sekarang dalam masyarakat kita.

Krisis yang kita hadapi adalah krisis kemanusiaan iaitu manusia yang serba kompleks jiwa raga, tingkah laku, set nilai, kegawatan moral, akal, emosi, sentimen dan minda.

Beberapa kajian yang dilakukan cendiakawan dan sarjana antarabangsa pada umumnya menjelaskan bahawa generasi baharu kini kehilangan arah tuju dan objektif hidup, antaranya disebabkan pemikiran yang terhad akibat tekanan dan stres, juga indoktrinasi melampau daripada masyarakat sebelumnya seperti ibu bapa, guru dan pemimpin tertentu,

Sebab lain, terbatasnya kebebasan untuk bertanya dan menjawab segala kekeliruan, malah pembicaraan dan pernyataan pemikiran akibat keterbatasan yang dipaksakan ke atas mereka oleh pihak-pihak yang tertentu dalam masyarakat.

Kekeliruan yang timbul dalam masyarakat sendiri disebabkan korupsi, kroni dan salah urus kuasa serta harta oleh generasi atasan mereka, walaupun golongan atasan itu kelihatan baik dari segi keterampilan dan susuk wajah mereka.

Ketika kita membicarakan generasi manusia di Malaysia, maka tentulah kita perlu membicarakannya sebagai masyarakat majmuk dengan pembentukan budaya dan aliran pemikiran yang universal.

Dari sudut pembangunan bangsa dan generasi baharu, kita haruslah memupuk keyakinan dan penglibatan generasi baharu dengan nilai-nilai universal dan sejagat sebagai amalan bersama.

Artikel Berkaitan:

Kekecewaan kita adalah ketika dalam jangka masa lebih kurang setahun ini, ketika masyarakat dihimpit dengan Covid-19, nampaknya terdapat banyak perilaku masyarakat yang bertentangan dengan budaya tamadun dan etika serta integriti bangsa dan masyarakat sendiri.

Banyak penemuan lain yang dihasilkan oleh pengkaji kemasyarakatan dan keagamaan dalam dunia Islam masa kini termasuk di Malaysia yang nampaknya tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa yang singkat dan terhad.

Menyedari hal itu, maka kita haruslah mulai memulihkan keadaan tersebut dengan kembali semula berbicara kepelbagaian aspek pendidikan terutama tentang pendidikan di rumah atau keibubapaan.

Suatu ketika dahulu, kita bicarakan dengan penuh tenaga dan fikiran, namun kini mulai luntur dan luput kerana tekanan hidup yang memerlukan ibu bapa bekerja, memisahkan diri daripada ilmu keibubapaan, malah meminggirkan diri daripada keilmuan dan pembicaraan saintifik dan pedagogi yang lebih berbentuk profesional tentang fungsi keluarga dalam pendidikan anak-anak.

Istilah termasyhur yang digunakan dalam al-Quran bagi ‘generasi’ ialah zurriyah yang merupakan kata pinjaman Arab, dalam bahasa kita sebagai zuriat.

Kita menterjemahkan istilah itu sebagai keturunan dan daripada konsep itulah timbul istilah generasi, berpanjangan daripada generasi pra baby boom sehingga generasi Y sekarang.

ALLAH SWT memberi peringatan tentang generasi baharu yang menggantikan generasi lama dengan ungkapan penuh makna dan iktibar: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahalanya sedikit pun.” (Surah Maryam, ayat 58–60).

Islam mengajar manusia supaya tidak berputus asa dalam hidup, sekali gus mendidik kita agar mempunyai keyakinan diri.

Sekiranya kita menghadapi krisis kemanusiaan dan pembentukan generasi, maka kita tidak seharusnya lalai atau hanya berpeluk tubuh tetapi berusaha memperbaiki segala yang lemah dan keciciran serta membetulkan segala kesilapan itu untuk mewujudkan semula generasi baharu yang lebih baik lagi.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!