Harapan untuk solat Jumaat

A
A
A

DUA pengumuman penting daripada kerajaan yang membuatkan orang ramai gembira ialah kebenaran merentas negeri dan tiada lagi had pelanggan duduk semeja di restoran.

Maka, sejak kelmarin dapat dilihat berduyun-duyun kenderaan memenuhi lebuh raya untuk pulang ke kampung masing-masing kerana sejak halangan rentas negeri, ramai yang tidak dapat bertemu orang tersayang.

Begitu juga dengan kelonggaran di restoran, Pak Su lihat jumlah pelanggan makin bertambah. Tauke restoran juga senyum lebar kerana pendapatan mereka yang merosot sebelum ini akan kembali pulih.

Di sebalik kelonggaran itu, ramai yang bimbang kes akan melonjak. Tetapi bagi Pak Su, kesedaran rakyat ketika ini sudah semakin meningkat.

Tahap kepatuhan kepada prosedur operasi standard juga semakin baik apabila amalan memakai pelitup muka, mencuci tangan dan penjarakkan fizikal menjadi keutamaan.

Kita juga sedar bahawa kes Covid-19 ini bukan main-main dan ramai yang sudah maut.

Namun di sebalik kelonggaran itu, Pak Su yang tinggal di Selangor menghadapi kesulitan untuk solat Jumaat di masjid kerana kebenaran hanya diberikan kepada tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Pak Su juga bersimpati dengan nasib rakan-rakan yang penuh bersemangat untuk solat Jumaat semalam tetapi terpaksa pulang hampa apabila kebenaran selain tiga daerah itu hanya diberikan kepada 40 jemaah terawal ataupun yang terpilih. Oleh itu, peluang untuk solat Jumaat agak tipis.

Artikel Berkaitan:

Ramai dalam kalangan rakan Pak Su rasa gundah-gulana kerana telah sekian lama tidak berpeluang solat Jumaat dan berjemaah di masjid.

Dengan penuh pengharapan, mereka berharap dapat solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu seperti sebelum ini.

Selain memenuhi tuntutan sebagai seorang Muslim, tanpa solat jemaah di masjid dan surau, kehidupan mereka terasa amat kosong.

Pak Su faham kebenaran pembukaan masjid dan surau kepada semua adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Pak Su juga faham bahawa pihak berkuasa agama di Selangor amat mengambil berat akan kemaslahan umat Islam di negeri Selangor.

Cumanya Pak Su berharap Jabatan Agama Islam Selangor dapat mempertimbangkan pembukaan masjid dan surau untuk kembali diimarahkan seperti sebelum ini.

Ini kerana sepanjang pemerhatian Pak Su, pematuhan SOP dalam kalangan jemaah masjid dan surau adalah pada tahap terbaik ketika ini.

Jawatankuasa masjid dan surau sememangnya sepanjang masa akan memastikan jemaah patuh kepada SOP yang ditetapkan kerana mereka pasti tidak mahu ia ditutup semula jika berlakunya kes positif di kawasan kariah berkenaan.

Jika ada jemaah yang tidak patuh kepada SOP, pasti mereka tidak dibenarkan masuk. Jika sangsi dengan kemampuan jawatankuasa masjid, pihak polis boleh datang melihat tahap kepatuhan tersebut.

Akhir kalam, dengan kebenaran pembukaan masjid dan surau kepada jemaah seperti sebelum ini - dengan pematuhan SOP ditetapkan, aktiviti ekonomi dan kelas agama yang terhenti dapat kembali berlangsung seperti sediakala.

Ustaz-ustaz dan penceramah yang hilang sumber pendapatan dapat kembali bernafas dan tidak lagi perlu melakukan kerja-kerja lain untuk menampung keperluan hidup.

Bahkan masjid dan surau dapat dijadikan pusat penyampaian maklumat berkesan dalam usaha kerajaan untuk memutuskan jangkitan Covid-19.

Sama-sama kita berdoa agar dengan pembukaan rumah ALLAH dan pengimarahan aktiviti di dalamnya, ia akan menjadi antara penyumbang kepada usaha untuk memutuskan rangkaian kes Covid-19.

Hanya kepada ALLAH SWT kita berserah dan juga memohon pertolongan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!