Cabaran ceburi bidang baharu

A
A
A

TIADA hari tanpa cabaran. Oleh itu, kita perlu sentiasa bersedia dengan cabaran mendatang. Pun begitu, cabaran yang paling besar adalah untuk keluar daripada zon selesa.

Ramai yang tidak mampu berbuat demikian kerana faktor ketakutan dalam diri dan gerun dengan tohmahan orang lain.

Namun, sebelum bertindak keluar daripada zon selesa, kita perlu selidiki dan fahami dahulu zon baharu yang hendak dituju.

Apa yang jelas, tidak semua zon baharu adalah sesuai dengan kita walaupun mungkin sesuai dengan orang lain. Hakikatnya, setiap zon baharu akan melibatkan cabaran baharu.

Hanya mereka yang tabah, semangat yang kental dan berilmu dapat mengharungi cabaran tersebut.

Sebetulnya norma baharu mendorong kita menceburi bidang baharu kerana cara dan pendekatan lama sudah tidak sesuai lagi. Apa yang menarik, sudah ramai yang mula kreatif menjana pendapatan baharu.

Pendek kata, sudah tidak menjadi pelik seorang juruterbang beralih kepada bidang perniagaan makanan, seorang pramugari beralih kepada bidang terapi kecantikan dan seorang pemandu pelancong beralih kepada bidang ternakan serta perladangan.

Malah, tidak kurang juga yang mula belajar ilmu saham dan pelbagai peluang perniagaan secara dalam talian. Namun, tidak semua yang beralih kepada bidang baharu boleh berjaya.

Artikel Berkaitan:

Apa yang nyata, masih ramai yang kecewa, menyesal dan putus harapan sepanjang berada dalam zon baharu.

Menurut perspektif psikologi, setiap cabaran baharu yang kita hadapi adalah suatu peluang yang baik untuk memperkembangkan diri. Kita boleh mengetahui tahap limitasi dan keupayaan diri sendiri.

Bagaimanapun, tidak semua orang melihat sedemikian kerana menganggap suatu cabaran baharu boleh menjerumus seseorang ke lembah kegagalan.

Natijahnya, akan timbul ketakutan atau stigma yang tinggi dalam kalangan individu yang ingin beralih kepada bidang yang baharu dan lebih rela berada dalam zon selesa. Hakikatnya, mereka yang mengelak sesuatu cabaran baharu tidak akan berpeluang mengenali diri sendiri.

Berubah

Selain itu, kebanyakan mereka yang tidak mahu berubah kerana takut dengan kata-kata orang lain dan mula mencari alasan untuk tidak berubah.

Sesungguhnya, mengharungi sesuatu cabaran seumpama kita memijak batuan sungai sebelum sampai ke seberang di mana sudah tidak boleh mengelak daripada basah.

Hanya mereka yang mempunyai jati diri yang tinggi, tidak kalah dengan tohmahan dan membuat keputusan apa yang mereka fikir serta percaya dan bukannya apa yang orang lain fikir terhadapnya akan berjaya harungi cabaran tersebut.

Itu bermakna, hendak berubah kita kena kuat. Menerusi satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:

“Orang mukmin yang kuat (segalanya) itu, lebih baik dan dikasihi ALLAH daripada mukmin yang lemah, sedang setiap (mukmin) itu semuanya baik. Utamakanlah (berusahalah) terhadap perkara yang menjamin kemanfaatanmu dan sentiasa bermohon pertolongan ALLAH tanpa rasa lemah semangat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Namun, kekuatan sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak bersandar kepada ilmu. Selaras dengan itu, Imam al-Syafie pernah berkata:

“Barang siapa yang menginginkan dunia, maka hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang menginginkan kedua-duanya, maka hendaklah dengan ilmu.” (Manaqib al-Syafie’, 2/139).

Oleh itu, carilah ilmu sebaik-baiknya sebelum mengambil keputusan berhijrah kepada zon baharu.

Ingatlah, kita akan bertanggungjawab terhadap semua keputusan kita.

Walaupun kita mempunyai sokongan yang kuat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan, namun mereka tidak sentiasa bersama dalam jiwa dan pemikiran kita.

Bertawakal kepada ALLAH setelah usaha dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Walaupun gagal, terus berani ke hadapan.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!