Terlelap punca Fakhriza dua kali terlibat kemalangan
[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Dua kali ditimpa kemalangan jalan raya akibat terlelap ketika menunggang motosikal merupakan satu pengalaman yang amat sukar dilupakan.
Begitu pengakuan Muhammad Fakhriza Menhuri, pemuda berasal dari Sungai Petani, Kedah yang terselamat setelah dua kali mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 2018.
Menurut pemuda berusia 27 tahun itu, kali pertama ditimpa kemalangan jalan raya akibat terlelap adalah pada awal tahun 2018 ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi tetapi pada ketika itu saya hanya mengalami cedera ringan di bahagian kaki.
“Namun, kemalangan kedua yang berlaku pada bulan Jun tahun sama menyebabkan saya terpaksa menjalani pembedahan berikutan kecederaan berhampiran bahagian saluran air mata,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Mengimbas kembali detik cemas kemalangan kedua yang berlaku di Lebuh Raya Pantai Dalam itu, Muhammad Fakhriza berkata, ketika kejadian, dirinya dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Buloh setelah berbuka puasa dan meluangkan masa bersama rakan-rakan di Putrajaya.
“Waktu itu sudah jam 4.30 pagi dan saya memang berasa mengantuk tetapi saya tetap terus meneruskan perjalanan.
“Tanpa disedari saya terlelap dan motosikal saya melanggar pembahagi jalan raya di tengah lebuh raya sehinggakan topi keledar tercampak ke seberang jalan.
“Mujurlah selepas pelanggaran itu saya masih sempat bangun, mengambil topi keledar kemudian menolak motosikal ke tepi jalan sebelum orang awam datang membantu dan saya dibawa ke hospital.
“Kini kalau saya berasa mengantuk ketika menunggang motosikal saya akan berhenti untuk berehat sebentar, saya lebih berhati-hati kerana tidak mahu kejadian sama berulang lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!