Juruteknik, pesara tentera antara ditahan dalam Op Selamat

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan seorang juruteknik kilang selepas dipercayai memiliki ganja dalam Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Kilometer 46 Jalan Kulim – Baling - Gerik di Baling, semalam.

Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kedah, Asisten Superintendan Meor Amir Meor Mohd Khalil berkata, juruteknik kilang berusia 34 tahun itu ditahan jam 2.30 petang selepas memandu dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas diarahkan berhenti di tepi jalan dan pemeriksaan yang dilakukan menemui dua paket plastik lut sinar mengandungi ketulan dan tumbuhan kering dipercayai ganja dengan anggaran berat 4 gram di dalam poket seluar sebelah kiri suspek.

"Setelah membuat semakan melalui sistem pintar MCOPS, lelaki terbabit juga pernah ditahan kerana membawa daun ketum manakala saringan air kencing mendapati suspek turut positif ganja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Meor Amir berkata, pihaknya juga menahan seorang pesara tentera berusia 60 tahun berikutan motosikal jenis Modenas Kriss yang ditungganginya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu pada jam 3.45 petang dalam operasi sama.

Katanya, lelaki itu didapati menunggang motosikal milik anaknya dan siasatan awal mendapati nombor pendaftaran palsu itu dibuat anaknya bagi mengelakkan motosikal itu dirampas apabila tidak membayar ansuran bulanan.

Beliau berkata juruteknik dan pesara tentera serta motosikal yang dirampas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Meor Amir berkata polis turut mengeluarkan 23 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!