Islam menyantuni golongan OKU

 Ustaz Mustafar Mohd Suki
Ustaz Mustafar Mohd Suki
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan orang kurang upaya (OKU) amat memerlukan pembelaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek.

Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkata, ajaran Islam tidak membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna ataupun memiliki kelainan upaya dan kekurangan.

“Golongan ini lazimnya amat memerlukan pembelaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek. Malahan hak mereka untuk mendapatkan peluang mempelajari agama serta mengikuti program-program dakwah boleh dinikmati seperti masyarakat yang lain.

“Peluang seperti ini penting agar golongan istimewa ini juga dapat menjadi muslim yang mengamalkan ajaran agamanya dengan sempurna,” katanya pada program Wacana Al-Quran siri 40 bertajuk ‘OKU: Aset Negara’ yang bersiaran secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini kelmarin (Jumaat).

Dalam program itu, beliau bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai panelis; manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail dan qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang membaca surah ‘Abasa.

Mustafar berkata, bukti Islam menyantuni golongan OKU dapat dilihat berdasarkan teguran ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW di dalam surah ‘Abasa.

“Ayat ini juga teguran kepada Nabi bagaimana cara untuk berinteraksi dengan OKU. Peristiwa tersebut berlaku apabila seorang cacat penglihatan iaitu Abdullah Ibn Umm Maktum datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda dikelilingi oleh pembesar Quraisy.

“Mereka sedang mengikuti ceramah dan penjelasan mengenai Islam. Nabi pula ingin menggunakan peluang tersebut untuk menarik mereka menganut ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

“Ketika itulah datangnya Abdullah Ibn Umm Maktum meminta Nabi membaca dan menyampaikan kepadanya ajaran Islam. Beliau mengulangi permintaan tersebut kepada Nabi beberapa kali, sedang dia sendiri tidak tahu keadaan Nabi yang sedang sibuk melayani orang kenamaan tersebut. Kemudian turunlah ayat tersebut,” katanya.

Menurutnya, terdapat pelbagai solusi dalam al-Quran bagaimana mengupayakan golongan OKU.

“Kita sebagai masyarakat dan umat perlu duduk sekali, berbincang perkara-perkara yang boleh disediakan dalam mengupayakan OKU.

“Malah pendakwah juga turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah kepada golongan ini,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat Islam perlu melayani golongan berkenaan sama rata supaya mereka merasa dihargai dan tidak tersisih.

“Kita perlu menerima mereka sebagai sebahagian dari ahli masyarakat kita. Kehadiran mereka bukanlah untuk dihina atau diketawakan tetapi untuk difahami dan dibantu.

“Oleh itu, sebagai ahli masyarakat yang akan sentiasa berdepan dengan OKU, kita perlulah mengamalkan sikap-sikap yang tertentu agar kebajikan serta hak-hak mereka terpelihara,” katanya.

Ujar Mustafar lagi, infrastruktur untuk OKU juga perlu ditambah baik supaya golongan itu dapat menikmati kemudahan sama seperti orang biasa.

“Kita perlu tahu kekurangan serta keperluan mereka agar dengan pengetahuan itu, kita dapat memberi kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk memudahkan mereka.

“Masjid dan surau perlu mesra OKU agar mereka dapat sama-sama beribadat. Begitu juga majikan-majikan diminta tidak meminggirkan mereka, sebaliknya beri peluang pekerjaan kepada golongan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!