Ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS

 Ringgit dijangka akan meneruskan aliran menaik pada minggu depan untuk mencecah paras selesa 4.05 sebelum mengapai tahap psikologi terpenting pada 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Ringgit dijangka akan meneruskan aliran menaik pada minggu depan untuk mencecah paras selesa 4.05 sebelum mengapai tahap psikologi terpenting pada 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka akan meneruskan aliran menaiknya pada minggu depan untuk mencecah paras selesa 4.05 sebelum mengapai tahap psikologi terpenting pada 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kata seorang penganalisis.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, selera risiko pelabur akan terus dipengaruhi oleh kemajuan penyebaran vaksin Covid-19 dalam ekonomi-ekonomi utama termasuk perkembangan berkaitan dengan rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS) yang baharu.

"Sekiranya Demokrat dan Republikan bersetuju dengan perjanjian yang akan dibuat pada minggu akan datang, ini boleh menetapkan pentas untuk kenaikan Krismas dan mendorong penanda aras saham kepada rekod tertinggi baharu, yang semestinya memberi sokongan kepada aset risiko yang lain,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit mungkin perlu berehat seketika selepas merekodkan pendakian yang cemerlang sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang boleh mengakibatkan ia meleset sedikit ke arah 4.07 berbanding dolar AS.

Tambahnya, mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang mungkin menghasilkan lebih banyak petunjuk mengenai rancangan Rizab Persekutuan untuk menyokong ekonomi AS.

"Isyarat sedemikian boleh memberikan lebih banyak tekanan ke atas dolar US sambil membenarkan lebih banyak pengukuhan kepada sekumpulan pertukaran asing yang lain," kata Tan.

Minggu ini, terutamanya ringgit, telah mencapai paras paling kukuh berbanding dolar AS sejak Julai 2018 kepada 4.0483 semalam, sekali gus mencatatkan keuntungan bagi minggu ketujuh berturut-turut.

Lonjakan niaga hadapan Brent melebihi AS$50 setong buat kali pertama sejak Mac menjadi rangsangan utama kepada ringgit, dengan sentimen risiko dan dolar AS yang melemah memberikan kelebihan kepada ringgit.

Artikel Berkaitan:

Tan berkata, pengukuhan ringgit turut mampu mengenepikan kesan pengeluaran perindustrian Malaysia yang lebih lemah daripada jangkaan kerana faktor luaran terus bertindak sebagai pemacu utama.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit adalah lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.0500/0550 berbanding 4.0580/0620 yang direkodkan semasa minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih baik berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0301/0332 daripada 3.0461/0498 dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.3537/3585 daripada 5.4698/4772.

Ringgit juga menokok berbanding euro kepada 4.9074/9122 daripada 4.9366/9430 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8927/8964 daripada 3.9023/9080. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!