Tahun Baru Cina disambut dengan semangat kebersamaan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menggaul Yee Sang semasa hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menggaul Yee Sang semasa hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia mempamerkan semangat kebersamaan yang luar biasa dengan menyertai acara rumah terbuka bersempena Tahun Baru Cina, hari ini.

Perhimpunan itu menyaksikan rakyat biasa beramah mesra dengan pemimpin politik negara dan negeri serta anggota komuniti perniagaan dan kumpulan lain, dengan cara tradisional menggaul 'yee sang' yang melambangkan nasib baik, kemakmuran dan segala perkara yang menguntungkan, menarik perhatian mereka yang hadir.

Di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi tetamu kehormat sambutan itu yang dihoskan oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di premisnya di Jalan Maharajalela di sini yang dihiasi warna merah melambangkan nasib baik dan kebahagiaan.

Beliau disambut oleh Presiden KLSCAH Datuk Ong Seng Khek serta tarian singa yang bertenaga, dan kemudian turut serta dengan tetamu lain menggaul yee sang.

Turut hadir ialah Menteri Industri Utama Teresa Kok serta Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong.

Dalam pada itu, kira-kira 5,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE), Bayan Baru, Pulau Pinang.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Pada majlis itu, turut diadakan persembahan muzik oleh pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Heng Ee, nyanyian dan tarian serta upacara menggaul 'yee sang' oleh tetamu kehormat.

Artikel Berkaitan:

Di Johor Bahru, Menteri Besar Datuk Osman Sapian menggesa semua pihak supaya bersama mengupayakan setiap masyarakat tanpa membezakan warna kulit dan kepercayaan.

Beliau berucap pada majlis sambutan serupa anjuran Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, di Wisma Tiong Hua yang turut disertai presiden persekutuan itu, Datuk Seri Tey Kim Chai.

“Pesan saya, jangan jadikan kepelbagaian anutan agama, adat resam dan budaya rakyat negara ini sebagai benteng pemisah dan isu sehingga mencetuskan kesulitan dan perbezaan,” katanya yang turut mengumumkan peruntukan RM100,000 oleh kerajaan negeri kepada Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru untuk bagi melakukan pelbagai aktiviti.

Selain acara rumah terbuka, rumah ibadat turut menjadi tumpuan bagi mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Bernama mendapati Tokong Kuan Ying di bandar Klang, Selangor menerima kedatangan pengunjung seawal 8 pagi untuk melaksanaan aktiviti keagamaan dan ada yang meluangkan masa bersama keluarga dengan menjamu selera di restoran dan pusat beli-belah sekitar Shah Alam.

Keadaan sama dilihat di Tokong Then Sze Koon di Jalan Bukit Temiang di Seremban, Negeri Sembilan dengan pengunjung masyarakat Cina mula hadir seawal 7.30 pagi untuk acara keagamaan.

Negeri Sembilan akan menjadi hos acara Majlis Rumah Terbuka Malaysia sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2 pada 17 Feb yang dijangka dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!