Lagi cubaan melombong emas secara haram

Palong kayu yang akan digunakan untuk melombong emas secara haram ditemui dalam Hutan Simpan Ibam kelmarin. - Foto JPNP
Palong kayu yang akan digunakan untuk melombong emas secara haram ditemui dalam Hutan Simpan Ibam kelmarin. - Foto JPNP
A
A
A

ROMPIN - Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin berjaya menggagalkan cubaan melombong emas haram di Hutan Simpan Ibam di sini kelmarin.

Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, susulan aduan awam berhubung kegiatan itu, pihaknya segera ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya menemui sebuah khemah yang dibina pelombong haram dipercayai sebagai tempat berehat sebelum menjalankan aktiviti melombong.

"Bagaimanapun ketika serbuan itu, kita tidak menemui individu yang terlibat dalam kegiatan melombong emas berskala kecil itu.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dan rampasan dua enjin air serta beberapa peralatan dipercayai untuk digunakan bagi mencari gali emas tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP)," katanya.

Shairani berkata, pihaknya turut merampas palong kayu yang ditemui di tepi sebatang anak sungai berhampiran.

"Kita percaya kegiatan itu dilakukan oleh dua hingga empat individu yang berpengalaman dalam aktiviti melombong emas," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Hutan Simpan Ibam menjadi tumpuan kegiatan melombong emas secara haram, namun hasil operasi yang dilakukan secara berterusan membuatkan kegiatan itu tidak lagi aktif.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, awal Januari lalu Unit Tindakan Khas PHD Rompin melakukan Operasi Degil dan berjaya menahan empat individu termasuk seorang warga emas yang melakukan aktiviti melombong emas secara haram di Sungai Charah dalam Hutan Simpan Ibam dekat Muadzam Shah.

"Usaha mengesan aktiviti menceroboh hutan simpan berkenaan berdepan sedikit kesukaran ekoran keluasannya cukup besar selain banyak lorong tikus yang digunakan penceroboh.

"Bagaimanapun halangan itu tidak menghalang usaha kita untuk terus bertindak bagi membanteras kegiatan pencerobohan dan aktiviti haram dalam kawasan hutan simpan tersebut," katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang dikesan menceroboh hutan simpan untuk tujuan memindahkan hasil hutan seperti emas, balak, rotan dan damar secara haram akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kita akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengesan kegiatan salah itu termasuk aktiviti rondaan secara berjadual dan pemantauan menggunakan dron," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!