Sejarah Feri di Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan feri di Pulau Pinang merupakan antara perkhidmatan pengangkutan air tertua di negara ini yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar di Butterworth.

Mula diusahakan oleh Quah Beng Kee bersama saudaranya pada tahun 1894 secara kecil-kecilan namun pada waktu itu reka bentuk feri bukanlah seperti sekarang tetapi hanya lanci-lanci (bot) kecil dengan menggunakan kuasa wap.

Kemudian perkhidmatan feri diambil alih sepenuhnya oleh Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) pada tahun 1924 dan pada masa itu barulah dinaik taraf serta boleh mengangkut kenderaan bermotor.

Hanya terdapat satu feri berkuasa wap iaitu 'Seberang' yang dibina oleh Lembaga Pelabuhan Singapura. Ia beroperasi dari Butterworth di Seberang Perai ke Terminal Tun Uda di Georgetown P Pinang.

Berikutan mendapat sambutan ramai, LPPP menambah dua buah feri lagi iaitu Tanjong dan Kulim sebelum sebuah lagi feri (Bagan) ditambah pada tahun 1938.

Perang dunia kedua yang berlaku pada 1941 menyebabkan perkhidmatan feri menjadi lumpuh.

Akibat serangan tentera Jepun, feri Tanjong dan Kulim tenggelam di perairan pelabuhan manakala feri Bagan dibawa lari tentera Jepun ke Sumatera.

Selepas tamat perang, feri Bagan berjaya dibawa pulang dan LPPP diberi nafas baru pada April 1946. Feri Bagan diperbaiki dan beroperasi semula.

Artikel Berkaitan:

Feri Bagan yang pernah digunakan sebelum zaman perang dunia kedua di negeri ini.
Feri Bagan yang pernah digunakan sebelum zaman perang dunia kedua di negeri ini.

Pada 1956, LPPP bertukar dan diambil alih oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Sepanjang 1957-1959, SPPP menambah lima buah feri membawa penumpang dan kenderaan berat.

Pada 1959, Pangkalan feri baharu di Pulau Pinang (Pangkalan Raja Tun Uda) dan di Butterworth (Pangkalan Sultan Abdul Halim) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Malangnya satu tragedi telah menggemparkan Malaysia iaitu peristiwa jeti runtuh, Pengkalan Sultan Abdul Halim pada 31 Julai 1988 dan runtuhan itu menyebabkan pangkalan tersebut tidak boleh digunakan lagi.

Di samping itu banyak feri lama telah direhatkan.

Pada masa kini, perkhidmatan feri telah diambil alih oleh Prasarana Malaysia pada 2017 dan ditukar nama kepada perkhidmatan Rapid Ferry. Difahamkan, kini hanya enam buah feri beroperasi setiap hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!