Pemberian pencen kepada atlet Olimpik satu motivasi
PELAKSANAAN skim pencen untuk semua atlet yang mewakili negara pada temasya Olimpik akan memberi motivasi kepada lebih ramai ahli sukan untuk mencapai tahap tertinggi dalam acara sukan masing-masing.
Leong Mun Yee yang akan membuat penampilan Olimpik kelima di Tokyo pada Julai depan berkata, jika cadangan itu diluluskan, skim pencen tersebut akan menjadi satu penghargaan kepada Olimpian yang mungkin mencipta kejayaan dalam acara dunia lain namun gagal meraih pingat Olimpik.
“Jika jadi kenyataan, skim itu akan menjadi motivasi kepada atlet untuk berusaha dan memberikan yang terbaik pada temasya Olimpik, selain menjadi satu penghargaan kepada semua Olimpian negara atas sumbangan mereka,” katanya atlet kelahiran Perak tersebut kepada Bernama.
Mun Yee sendiri banyak mencipta kejayaan namun masih belum memenangi pingat Olimpik, biarpun pernah bersaing pada temasya Olimpik Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012. Pencapaian terbaiknya ialah di tempat ketujuh dalam acara 10 meter platform seirama.
Mun Yee, 36, yang terlibat dalam acara sukan terjun sejak berusia 10 tahun, berjaya menaiki podium dalam pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia serta Komanwel.
Berpasangan dengan Pandelela Rinong, mereka memenangi pingat pertama untuk Malaysia dalam kejohanan dunia, iaitu pingat gangsa acara 10m platform seirama pada edisi 2009 di Rom, Itali.
Pada Khamis, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa kementeriannya sedang berbincang dengan pelbagai organisasi sukan untuk memperkenalkan skim pencen kepada Olimpian dan cadangan itu akan dibawa ke kabinet dalam masa terdekat. Pada masa ini hanya pemenang pingat Olimpik layak mendapat pencen tersebut.
Idea itu dilontarkan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam temu bual dengan Bernama bulan lepas ketika ditanya mengenai aspirasi OCM dalam Belanjawan 2021.
Inisiatif itu turut dialu-alukan oleh Persatuan Olimpian Malaysia (MOA) yang melihat pelaksanaan skim tersebut sebagai jaminan bahawa kerjaya selaku atlet elit merupakan satu pilihan yang mampan untuk bakat-bakat sukan negara.
MOA berkata, 340 atlet Olimpik negara hanya merangkumi sekitar 0.001 peratus daripada kira-kira 32 juta penduduk Malaysia dan sesetengah mereka masih lagi bersaing pada peringkat tertinggi.
“Kami mengalu-alukan pengumuman Kementerian Belia dan Sukan serta OCM tentang pelaksanaan skim pencen untuk semua atlet Olimpik Malaysia dan kami mahu meneruskan inisiatif seperti ini dan usaha-usaha yang menumpukan pada kesejahteraan Olimpian kita.
“Kita harus mengiktiraf pencapaian mereka serta menyokong pengorbanan besar yang mereka lakukan dalam usaha mengangkat nama negara kita di pentas dunia. Apabila ada gesaan, ada usaha yang diambil. Sekarang kita sudah ada momentum,” kata MOA dalam kenyataan.
MOA berkata, pelaksanaan pencen untuk semua Olimpian akan merangsang usaha Malaysia bagi mencipta kejayaan pada temasya Olimpik memandangkan atlet Malaysia diberi jaminan mereka akan menerima sokongan kewangan apabila bersara kelak selepas mengabdikan diri kepada kerjaya sukan mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!