Amanah tetap perjuangkan gagasan ‘rahmatan lil alamin’
SHAH ALAM - Perjuangan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi memperkasakan gagasan ‘rahmatan lil alamin’ masih kekal, kata Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah, Mohamed Hanipa Maidin.
Beliau berkata, perjuangan itu juga yang menjadikan pendekatan Amanah berbeza berbanding parti lain demi menonjolkan mesej lebih jelas tentang agama Islam.
"Konsep 'rahmatan lil alamin’ ini supaya orang tidak melihat Islam sebagai satu agama yang ganas sebaliknya Islam sebagai agama yang boleh raikan semua orang.
"Bagi saya, Amanah berada di landasan yang ditetapkan. Perjuangan itu (konsep rahmatan lil alamin) masih kekal," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Berapa Skala Politik Amanah, di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini semalam dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Amanah tidak mahu masyarakat melihat Islam sebagai agama yang 'menghukum' atau erti kata lain menonjolkan sifat individu yang merasakan dia lebih mulia dan suci berbanding orang lain.
Menurutnya, beliau sedar pendekatan yang diperjuangkan mungkin tidak digemari berbanding dengan cara memainkan isu sentimen yang lebih mudah menarik minat masyarakat.
"Sebab itu kita boleh dekati golongan transgander dan sebagainya. Sekarang ini kita, malah secara umumnya seluruh dunia menghadapi masalah Islamophobia.
"Orang terlalu takut dengan Islam kerana apa? banyak sebab antaranya perbuatan orang Islam sendiri," katanya.
Mohamed Hanipa pada masa sama juga turut mempertahankan prinsip Amanah berhubung dakwaan parti itu sebagai parti liberal.
"Liberal bergantung pada tafsiran masing-masing. Bagi sesetengah orang, liberal ini meremehkan hukum hakam.
"Kalau itu (tuduhan kepada Amanah) mungkin tak tepat. Saya tak rasa Amanah parti liberal sehingga tidak pertahankan isu-isu hukum hakam agama Islam. Namun kita tanganinya dengan cara berbeza," katanya.
Mengulas mengenai persepsi bahawa Amanah gagal menonjolkan pendirian seolah-olah hanya mengikut telunjuk DAP dan PKR, Ahli Parlimen Sepang itu berkata, perkara itu sepatutnya difahami dari segi mekanisme Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan.
Bahkan katanya, dalam aspek 'bersuara', Amanah melihat pentingnya ia disalurkan melalui platform Kabinet yang disifatkan lebih berkesan.
"Suara Amanah sama dengan suara PH. Kita dalam satu persepakatan. Amanah mempunyai pendirian dan pendapat dibawa bincang dalam majlis presiden kemudian baru kita buat keputusan.
"Kena faham mekanisme buat keputusan. Kita pun banyak kali lawan DAP. Kadang-kadang kita pun tak setuju dengan DAP tapi kita bincang dalaman. Itu beza kita dengan orang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!