Dua gol Bailey bantu Leverkusen mara
BINTANG Jamaica, Leon Bailey berbangga apabila berjaya meledak dua gol bagi membantu kemenangan 4-0 Bayer Leverkusen ke atas Slavia Praha dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C, Liga Europa di Bay Arena, Berlin semalam.
Menurut Bailey, kejayaan berkenaan nyata cukup bermakna buatnya kerana berjaya membantu pasukannya mara ke saingan kalah mati musim ini.
Malah dia turut berjanji untuk menjaringkan lebih banyak gol bagi membantu Leverkusen mara lebih jauh dalam saingan Liga Europa kali ini.
“Ketika ini saya rasa cukup berbangga kerana berjaya membantu kemenangan pasukan. Ia sesuatu yang hebat apabila anda mampu membantu pasukan yang pada tahap tertinggi seperti ini.
“Semoga selepas ini saya dapat menjaringkan lebih banyak gol untuk pasukan ini mara lebih jauh,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Bailey membuka jaringan buat Leverkusen pada minit ke-8 sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-32.
Babak kedua menyaksikan pemain Perancis, Moussa Diaby menjaringkan gol ketiga pada minit ke-59 sebelum Karim Bellarabi menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan bagi melengkapkan kemenangan Leverkusen.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Leverkusen menamatkan saingan selaku juara Kumpulan C dengan 15 mata hasil lima kemenangan dan tewas sekali daripada enam perlawanan.
Sementara itu Bailey berkata, selepas membantu Leverkusen mara ke saingan kalah mati Liga Europa dia mahu memberikan fokus bagi mengharungi saingan Bundesliga berdepan Hoffenheim awal pagi Isnin.
“Keutamaan ketika ini adalah saya dan rakan-rakan sepasukan terus kekal cergas bagi mengharungi saingan Bundesliga.
“Saya berharap agar prestasi cemerlang pasukan ini akan berterusan dalam saingan Bundesliga pula,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!