Selangor FC ikat pertahanan Jerman
SELANGOR FC mengikat pemain dari Jerman, Tim Heubach untuk memperkuat benteng pertahanan pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula Februari tahun depan.
Selangor FC mengesahkan mengikat pemain berasal dari Neuss, Jerman yang mempunyai ketinggian 192 sentimeter (cm) serta pernah beraksi bersama pasukan Ligat Ha’AI Maccabi Netanya itu dalam satu kenyataan di laman web www.selangorfc.com hari ini.
Pemain berkenaan membuat 82 penampilan dan menjaringkan lima gol untuk kelab tersebut, menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Selangor FC adalah kelab Asia pertama disertai Heubach setelah berkelana lama di Timur Tengah selain pernah bermain untuk Borrussia M’glabach II, 1 FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt.
“Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baharu di sini sebelum pulang ke Jerman satu hari nanti.
“Semasa saya diberitahu oleh jurulatih Michael (Feichtenbeiner) mengenai Selangor FC, saya teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan The Red Giants di YouTube dan perlawanan siaran langsung, timbul keyakinan untuk saya bermain bersama pasukan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Heubach berkata, beliau juga dimaklumkan mengenai penyertaan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih Selangor FC dan pernah bertemu dengan jurulatih berkenaan di Jerman pada Oktober lepas.
“Ia adalah pertemuan pertama kami. Saya tidak pernah bekerjasama dengan Neitzel sebelum ini tapi kami pernah menjadi lawan pada satu ketika dulu.
“Semasa bertemu kami berbincang mengenai cabaran baharu untuk kami berdua di Malaysia. Beliau juga sempat memberitahu saya mengenai perancangannya bersama Selangor FC dan harapan beliau terhadap saya,” katanya.
Heubach adalah pemain terbaharu kedua diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan penyerang kebangsaan Shahrel Fikri sebagai penyerang baharu The Red Giants minggu lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!