Pesan makanan guna QR Code di medan selera AEON, AEON Big

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat Aeon Co (M) Bhd, Dr Kasuma Satria menunjukkan sebuah gerai yang menggunakan aplikasi bagi memesan makanan sempena pembukaan Medan Selera Aeon Big Wangsa Maju hari ini.
Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat Aeon Co (M) Bhd, Dr Kasuma Satria menunjukkan sebuah gerai yang menggunakan aplikasi bagi memesan makanan sempena pembukaan Medan Selera Aeon Big Wangsa Maju hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai kini tidak perlu lagi beratur panjang untuk memesan makanan di medan selera pasar raya AEON dan AEON Big kerana mereka boleh berbuat demikian dengan hanya mengimbas kod respon pantas (kod QR) yang terdapat pada meja menggunakan telefon pintar.

Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON Co (M) Bhd, Dr Kasuma Satria berkata, selain memudahkan pengguna, sistem baharu itu juga mengurangkan interaksi fizikal dan memastikan penjarakan selamat selaras dengan penyesuaian normal baharu Covid-19.

"Pelanggan juga mempunyai pilihan membuat pembayaran secara dalam talian. Selepas membuat pesanan mereka hanya perlu menunggu nombor giliran dipaparkan untuk mengambil makanan di gerai," katanya pada majlis pembukaan semula 'Midtown Food Hall' di AEON Big Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata AEON Big Wangsa Maju merupakan cawangan pertama yang melaksanakan sistem itu sebelum ia diperluaskan ke 39 medan selera AEON dan AEON Big seluruh negara secara berperingkat.

Midtown Food Hall AEON BIG Wangsa Maju berwajah baharu selepas dua minggu ditutup dan menampilkan 10 gerai makanan pelbagai jenis masakan termasuk gerai kuetiau goreng atau 'char kuey tiao' yang diusahakan penyanyi Aiman Tino.

Kasuma berkata pihaknya juga berhasrat menarik lebih banyak usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana terutama yang popular serta tular di media sosial untuk membuka cawangan di medan selera pasar raya itu.

"Kami ingin mengetengahkan lebih banyak produk dan jenama tempatan untuk dipasarkan di dalam serta luar negara dan bersedia memberi bimbingan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!