TSG aktif gilap pelapis
TUJUH pelumba berpotensi terpilih menyertai Akademi Terengganu Cycling Team (TSG) untuk digilap ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengarahnya, Nasiruddin Wan Idrus berkata peserta itu berusia antara 18 hingga 20 tahun yang telah melepasi pelbagai ujian untuk dijadikan pasukan pelapis kepada pelumba profesional TSG sedia ada.
Beliau berkata, urusan berkaitan kontrak akan diselesaikan selewat-lewatnya akhir bulan ini bagi membolehkan mereka mengikuti program pembangunan dan latihan secepat mungkin.
"Mereka akan dilatih oleh pasukan kejurulatihan dan pelumba profesional Terengganu Inc TSG Cyling Team bagi memastikan mutu latihan yang diterima adalah terbaik dan bertaraf antarabangsa," katanya ketika dihubungi.
Mereka yang terpilih ialah Muhammad Aidil Nazhan Nizam, Muhammad Abdul Hadi Azahar, Muhammad Khalid Nasiruddin, Muhammad Nasrullah Zakaria, Muhammad Ariff Redzuan Zulkefli, Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrulfadli Sham dan Wan Abdul Rahman Hamdan.
Nasiruddin, yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, berkata bagi memberi pendedahan di peringkat antarabangsa, pelumba akademi akan dihantar menjalani latihan dan perlumbaan di luar negara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia pada tahun ini.
Menurut beliau, ia juga sebagai program persediaan untuk menghadapi Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor yang menjadi keutamaan pelumba akademi pada masa ini.
"Kita juga mempunyai hubungan baik dengan penganjur di China. Dengan status kita sebagai pasukan nombor satu Asia, tidak susah untuk dapatkan jemputan dan slot perlumbaan yang bukan di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk pelumba program pembangunan.
"Kita harap pendedahan sebegini akan meningkatkan prestasi mereka dengan cepat. Jadi pada tahun kedua mereka sudah boleh diserap masuk ke pasukan profesional TSG dan seterusnya mewakili negeri serta negara,” katanya.
Beliau berkata, skuad TSG hanya mempunyai tiga pelumba sahaja yang berusia bawah 25 tahun, manakala 12 lagi antara 28 hingga ke 35 tahun, dan oleh itu barisan pelapis perlu dipersiapkan.
Setakat ini mereka berjaya mendapatkan 10 tajaan bagi program akademi berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!