Anggota Imigresen bersekongkol dengan sindiket tiada akan terlepas

Hamzah (tiga dari kiri) mengiringi isterinya, Datin Seri Norasyikin Abd Ghani menyampaikan Bantuan 'Bakul Kasih Amanah Ikhtiar Malaysia' Sahabat-Sahabat Larut pada majlis di Larut hari ini.
Hamzah (tiga dari kiri) mengiringi isterinya, Datin Seri Norasyikin Abd Ghani menyampaikan Bantuan 'Bakul Kasih Amanah Ikhtiar Malaysia' Sahabat-Sahabat Larut pada majlis di Larut hari ini.
A
A
A

LARUT - Mana-mana anggota dan pegawai Jabatan Imigresen yang didapati terlibat dalam sindiket pemalsuan cop sempadan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan memastikan kesemua mereka dikenakan tindakan sewajarnya.

Menurutnya, tindakan anggota yang bersekongkol dengan pihak tertentu membawa masuk pekerja asing secara haram hanya memburukkan keadaan terutama dalam situasi penularan wabak Covid-19.

"Sesiapa yang melanggar, bersubahat dengan membawa orang luar masuk tanpa dokumen sehingga boleh membawa penyakit-penyakit ini, saya minta supaya Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Khairul Dzaimee Daud) untuk pastikan mereka ini diambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan 'Bakul Kasih Amanah Ikhtiar Malaysia' Sahabat-Sahabat Larut di Dewan Majlis Daerah Selama di sini hari ini.

Hamzah berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan demi memastikan keselamatan dan kepentingan negara.

"Semua pun telah sedia maklum baru-baru ni banyak pegawai-pegawai Jabatan Imigresen yang telah pun kita tangkap. Ini menunjukkan bahawa kita telah pun ada operasi untuk menentukan hanya mereka yang benar-benar bertanggungjawab dan tahu bahawa kerja mereka adalah untuk kepentingan negara," katanya.

Terdahulu, tular dakwaan terdapat Pegawai Imigresen yang bersubahat dengan pemilik sebuah kilang di Selangor dengan membawa ribuan pekerja asing secara haram dari China.

Keadaan itu turut didakwa antara punca berlakunya peningkatan kes Covid-19 di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, seramai 44 individu termasuk 27 pegawai Imigresen direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan cop sempadan.

Mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Selat yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!