Hina Anwar: Pemimpin AMK desak Akmal Nasrullah dikenakan tindakan
SHAH ALAM - Beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini tampil mendesak supaya ketua pergerakan itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dikenakan tindakan kerana didakwa menghina Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Desakan itu dibuat AMK cabang Port Dickson, Shah Alam, Marang dan Gombak susulan tersebarnya perbualan Akmal Nasrullah dengan beberapa pemimpin lain dalam kumpulan WhatsApp.
Tindakan sama juga perlu diambil terhadap beberapa individu lain dalam AMK yang turut terlibat dalam perbualan yang didakwa menghina Anwar itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu hina Anwar: PKR belum terima laporan
Dalam pada itu, Ketua AMK Marang, Mohd Ajwad Mohamad Yusof turut menggesa dan mendesak agar Akmal Nasrullah bertanggungjawab dengan meletak jawatan diatas kekhilafan yang beliau lakukan itu.
"Lebih menghiris lagi apabila perbualan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang ketua AMK dan sekutunya di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru.
"Justeru itu, AMK Marang menggesa dan mendesak agar Akmal Nasir bertanggungjawab dengan meletak jawatan di atas kekhilafan yang beliau lakukan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!