2019 permulaan terbaik untuk pembangunan ekonomi negara

Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas (empat, kanan) bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tiga kanan) bersama pemimpin negeri hadir pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan bersama Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang di Setia Spice Convention Centre hari ini. Foto: Bernama
Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas (empat, kanan) bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tiga kanan) bersama pemimpin negeri hadir pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan bersama Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang di Setia Spice Convention Centre hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yakin 2019 merupakan permulaan terbaik untuk melihat pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada kedudukan fiskal negara yang mulai mengukuh dan juga peningkatan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan sejak tahun lepas.

"Kita harapkan tahun ini akan menjadi tahun yang lebih maju dan makmur untuk negara Malaysia. Selepas tahun lepas kita dapat mengukuhkan kedudukan kewangan fiskal dan juga berikan keyakinan kepada pelabur asing serta syarikat-syarikat dana kewangan bahawa kita komited untuk menangani masalah-masalah yang diwariskan oleh kerajaan terdahulu.

"Pada masa sama kita komited untuk mencapai sasaran kita dan kita telah capai sasaran itu. Itulah sebabnya tahun ini adalah permulaan untuk melihat pembangunan ekonomi dan kita harap pelabur tempatan boleh memainkan peranan terus melabur dalam pasaran tempatan," kata Guan Eng.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (Spice), Bayan Baru dekat sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, buat masa ini ia masih di peringkat rundingan dan pengumuman hanya akan dibuat selepas keputusan muktamad dicapai.

"Saya dah cakap kita tak akan buat komen semasa rundingan diadakan melainkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Biar kita adakan rundingan (terlebih dahulu) dan tidak dipengaruhi oleh laporan surat khabar. Kadang-kadang laporan surat khabar pun tak tepat, ini akan merumitkan perbincangan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Status ECRL akan diumum secepat mungkin: Tun M

"Lebih baik kita jangan buat sebarang kenyataan sehingga ada satu keputusan muktamad di mana semua akan dicatit secara hitam putih, masa itu baru kita akan umumkan," katanya.

Laluan ECRL bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang, melibatkan jajaran rel sepanjang 688.3 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Gombak, Selangor.

Sekurang-kurangnya 44 terowong dirancang akan dibina di beberapa kawasan dengan keseluruhan jarak meliputi 39.1km di sepanjang jajaran ECRL dan ia termasuk terowong berkembar sepanjang 16.3km dari Bentong ke Gombak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!