Lawan menjadi kawan
HUBUNGAN China-Rusia telah mengalami perubahan drastik sejak tamatnya Perang Dingin pada awal 1990-an.
Semasa Perang Dingin, Rusia yang telah dikenali sebagai Soviet Union atau USSR, merupakan musuh ketat China walaupun kedua-dua negara itu berkongsi ideologi Marxisme.
Permusuhan itu disebabkan persaingan kepimpinan antara pemimpin komunis China seperti Mao Zedong dengan pemimpin komunis USSR, misalnya Stalin dan Nikita Khrushchev. Masing-masing bersaing mahu menjadi pemimpin komunis utama di dunia.
Ironinya, walaupun kedua-dua negara berkongsi ideologi Marxisme tetapi ketika itu musuh ketat China bukan Amerika Syarikat (AS) tetapi USSR.
Permusuhan China dan USSR bertambah serius pada tahun 1969 apabila kedua-dua negara bertembung di Sungai Ussuri di wilayah Manchuria yang menjadi sempadan antara China dan USSR. Ketegangan sempadan mengakibatkan China dan USSR ke ambang peperangan dengan penempatan tentera yang ramai dan senjata nuklear.
China juga mendakwa USSR sering menceroboh sempadannya di wilayah Xinjiang sehingga ia menjadi zon ketenteraan bagi mempertahankan China daripada kemungkinan serangan USSR.
Namun, hubungan China-Rusia pulih selepas tamatnya Perang Dingin dengan kejatuhan USSR pada tahun 1991.
Hubungan China-Rusia bertambah pulih dengan penubuhan Shanghai Five pada tahun 1996 yang terdiri dari China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan.
Tujuan Shanghai Five adalah untuk menyelesaikan masalah sempadan China-Rusia dan membina keyakinan atau Confidence Building Measure (CBM) dengan mengurangkan penempatan tentera dan senjata.
Shanghai Five kemudian menjadi Shanghai Cooperation Organisation (SCO) apabila Uzbekistan menyertainya pada tahun 2001.
Setelah hampir 30 tahun tamatnya Perang Dingin, hubungan China-Rusia telah berubah daripada lawan menjadi kawan khasnya untuk menghadapi cabaran AS.
Presiden Rusia, Presiden Vladimir Putin telah ditanya ketika Mesyuarat Tahunan ke-17 Valdai Discussion Club sama ada Rusia dan China akan mengadakan pakatan ketenteraan, beliau menjawab buat masa kini isu pakatan ketenteraan Rusia-China masih belum timbul kerana hubungan sudah kukuh tetapi beliau tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku.
Perlu ditegaskan, walaupun China dan Rusia tidak mempunyai pakatan ketenteraan, namun itu tidak menghalang kedua-dua negara bekerjasama dalam bidang keselamatan dan persenjataan.
Misalnya, pada tahun 2019, China, Rusia dan Iran telah mengadakan latihan ketenteraan di Teluk Oman. Latihan ketenteraan Center 2019 juga telah diadakan melibatkan China, Rusia, India, Pakistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan untuk menghadapi kemungkinan serangan pengganas di rantau Asia Tengah.
Merosot
Hubungan Rusia-AS telah merosot akibat krisis di Ukraine pada tahun 2014 apabila Rusia telah mengambil alih Crimea dari Ukraine dan mendudukinya. Rusia telah dikritik oleh AS dan negara-negara Kesatuan Eropah dan dikenakan sekatan ekonomi.
China juga berhadapan dengan cabaran AS dalam beberapa isu seperti perang perdagangan dan isu hak asasi manusia di Hong Kong serta Xinjiang.
Apabila China dan Rusia mempunyai pesaing yang sama iaitu AS, maka mereka terpaksa mengabaikan perbezaan, sebaliknya bekerjasama untuk mengimbangi hagemoni AS.
Namun, itu tidak bermakna China dan Rusia mempunyai kata sepakat dalam semua perkara. Misalnya, China tidak mengiktiraf pendudukan Rusia di Crimea dan masih menganggap Crimea sebahagian daripada Ukraine.
Pada masa yang sama, Rusia enggan mengiktiraf kawasan di Laut China Selatan yang dituntut China. Rusia juga amat sangsi dengan pertambahan pengaruh China di rantau Asia Tengah kerana Rusia sentiasa menganggap Asia Tengah sebagai kawasan di bawah dominasi Rusia.
Persoalan yang menarik adalah sejauh mana kerjasama dan persahabatan China-Rusia akan bertahan? Adakah kerjasama itu benar-benar didorong oleh faktor semangat setia kawan atau sekadar untuk mengimbangi AS?
Dan jika AS tidak lagi menjadi cabaran kepada mereka, mungkinkah China dan Rusia akan kembali bersaing sesama mereka sendiri?
Hanya masa mampu menjawab soalan-soalan tersebut.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!