Tabung Darul Iman salur RM5.3 juta bantu 6,267 penerima

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tabung Darul Iman membelanjakan lebih RM5.3 juta dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini bagi membantu 6,267 rakyat yang ditimpa musibah, menghidap penyakit kronik dan bantuan perubatan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu bantuan paling banyak dibelanjakan adalah Bantuan Sara Diri Tahunan iaitu RM2.4 juta.

Menurutnya, bantuan sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Penyakit Kronik itu memberi manfaat kepada 4,438 penerima yang merupakan penghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung, kegagalan buah pinggang dan strok.

“Bagi bantuan musibah, seramai 174 orang mendapat bantuan ini melibatkan peruntukan RM1.6 juta manakala bantuan susu dan lampin pakai buang pula diberikan kepada 1,428 penerima dengan jumlah bayaran RM960,646.

“Tetapi bantuan masuk hospital atau bil hospital pula tidak disediakan kerana Tabung Darul Iman hanya menyediakan Bantuan Perubatan melalui Surat Jaminan (GL). Bantuan perubatan ini adalah melibatkan bantuan implan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang tidak disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Hanafiah berkata, seramai 227 pesakit mendapat manfaat Bantuan Perubatan melibatkan peruntukan RM322,475 dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Tabung Darul Iman adalah gabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan yang bertujuan mengurus dan menyelaras bantuan secara sistematik dan efisien.

Pada tahun ini, Tabung Darul Iman menerima sumbangan RM5.8 juta daripada pelbagai pihak bermula Januari hingga Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!