PM saran bangunkan pusat sehenti agropelancongan

Muhyiddin (dua dari kiri) menunjukkan daun kucai semasa mengadakan lawatan di Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Perladangan Berkelompok Batu 18 dan Batu 19 Sengkang 1 Grisek hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (dua dari kiri) menunjukkan daun kucai semasa mengadakan lawatan di Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Perladangan Berkelompok Batu 18 dan Batu 19 Sengkang 1 Grisek hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pekebun sayur berkelompok di Sengkang, Bukit Gambir, di sini agar membangunkan sebuah pusat sehenti agropelancongan bagi menarik kedatangan pelawat ke kawasan itu.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir melontarkan cadangan itu ketika mendengar taklimat daripada Urusetia Perladangan Berkelompok Batu 18 dan 19 Sengkang 1 Grisek Tan Chee Kiong mengenai hasil kebun mereka, hari ini.

Berkongsi perkara itu kepada pemberita, Chee Kiong berkata, perdana menteri mahu pihaknya mencipta keunikan agar pengunjung boleh benar-benar merasai pengalaman sebagai pekebun ketika melawat ladang sayur terbabit.

“Ini termasuk menanam dan menuai sayur selain perlu ada restoran bagi pengunjung menikmati hasil ladang,” katanya yang ditemui selepas lawatan Muhyiddin itu.

Chee Kiong berkata, pada masa ini ladang itu mengeluarkan 16 jenis sayur-sayuran yang diusahakan oleh 30 pekebun.

“Setiap bulan dianggarkan 2,000 tan sayur pelbagai jenis dapat dituai untuk dipasarkan di kedai runcit dan pemborong di sekitar Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang.

“Kami juga mengeksport hasil tanaman kami ke Singapura dan pendapatan kasar kami ialah kira-kira RM50 juta setahun,” katanya, menambah ladang tersebut turut menggaji 250 pekerja.

Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa kira-kira sejam melihat hasil tanaman sayur-sayuran yang dituai pekebun-pekebun di kawasan terbabit, antaranya kucai, bayam, kangkung, sawi jepun, sawi putih dan kailan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!