Pemandu van kilang terlibat kemalangan maut positif dadah

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Lelaki yang memandu van kilang yang terlibat dalam kemalangan di Taman Wuduri Sungai Bakap di sini, semalam didapati positif dadah methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafie Abdul Samad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan polis selepas kemalangan yang menyebabkan seorang wanita maut manakala empat lagi cedera selepas van kilang mereka naiki terbabas dalam kejadian 6.50 pagi.

"Berikutan kemalangan maut itu, polis menahan pemandu van kilang berkenaan dan ujian awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah, dia kini direman untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan dan dua daripada empat pekerja kilang yang menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap sudah dibenarkan keluar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Dalam kemalangan itu, mangsa N Tanggam, 57, yang juga penumpang hadapan tercampak melalui tingkap sebelum dihempap van dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Empat lagi penumpang van berusia 20 hingga 28 tahun turut mengalami kecederaan antaranya patah tulang selangka dan patah tulang belakang manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.

Lima wanita termasuk mangsa yang meninggal dunia adalah pekerja sebuah kilang di Batu Kawan dan semasa kejadian mereka dalam perjalanan dari Selama, Kedah menuju ke kilang tempat mereka bekerja.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu berlaku dipercayai pemandu van kilang berkenaan memandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahagian kiri bahu jalan menuju ke arah Sungai Bakap sebelum terbalik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!