Dua lelaki warga Indonesia ditahan cuba rasuah polis
GOMBAK - Dua lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki cuba merasuah sepasukan anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak ketika menjalankan tugas di Rawang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada jam 7.35 pagi itu, anggota MPV itu mengesan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda warna hitam yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, suspek bagaimanapun memecut laju menuju ke arah Rawang ketika kenderaan polis cuba menghampiri motosikal tersebut.
"Polis berjaya menahan suspek berusia 39 dan 50 tahun itu di Kilometer 15 arah Rawang tetapi mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah," katanya melalui kenyataan hari ini.
Arifai berkata, dua lelaki itu tersebut telah mengeluarkan sejumlah wang dan cuba untuk memberi rasuah kepada anggota polis bertugas.
"Polis memberi memberi amaran namun mereka berdegil dan bertindak mencampakkan wang tersebut ke dalam kereta peronda polis supaya tidak mengambil tindakan," katanya.
Beliau berkata, polis kemudian menahan kedua-dua suspek itu atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan cuba memberi rasuah kepada polis.
"Kedua-dua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam hingga 25 Disember ini untuk membantu siasatan.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1957/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!