Keperluan mendesak tambah anggota Maqis
ISKANDAR PUTERI - Pembongkaran daging beku tidak halal yang diimport, dibungkus semula dan dilabelkan sebagai halal untuk pasaran tempatan menyaksikan terdapat keperluan mendesak untuk pertambahan anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis).
Timbalan Pengarah Maqis, Dr Azhari Sharidan Abu Bakar berkata, pada masa ini jabatan tersebut dianggotai 467 pegawai yang bertanggungjawab menjaga 57 pintu masuk negara di Semenanjung.
"Kita memang menghadapi masalah sebab pegawai kita tidak ramai untuk memeriksa kemasukan barangan di pintu masuk. Kita ada mohon pertambahan lebih 100 penjawatan baharu tahun lalu.
"Baru-baru ini telah diluluskan sebanyak 82 penjawatan. Kami berterima kasih kepada kerajaan, namun jumlah itu masih kurang daripada keperluan jabatan ketika ini," katanya dalam sidang akhbar Kompleks Sultan Abu Bakar dekat sini malam tadi.
Laporan khas Sinar Harian pada 1 Disember lalu mendedahkan serbuan diketuai Maqis di sebuah gudang di Skudai di sini yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum dibungkus semula serta diletakkan logo halal palsu.
Hasil risikan Maqis, kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku dan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label serta cap palsu, kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Tindakan itu dibuat bagi meyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
Azhari Sharidan berkata, kekurangan itu amat ketara contohnya penguatkuasaan yang di Pelabuhan Klang hanya melibatkan 24 anggota yang menyelia sekitar 400 kontena sehari dan jumlah tersebut tidak mencukupi.
Katanya, keperluan untuk menambah anggota menjadi lebih penting kerana pemeriksaan Maqis juga tertumpu kepada barangan import yang melibatkan penggunaan kontena sejuk beku seperti daging dan ikan.
"Ini kerana produk terbabit diklasifikasikan sebagai barangan berisiko tinggi terutamanya daging kerana produk terbabit hanya boleh diimport dari loji yang mendapat kelulusan Jabatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.
Sementara itu, pihaknya telah mengeluarkan kompaun mencecah RM3 juta terhadap lebih 700 kesalahan yang direkodkan di semua pintu masuk negara sejak Januari hingga November lalu.
"Kesalahan paling tinggi dikesan membabitkan barangan import pertanian, haiwan dan perikanan yang tidak memiliki permit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!