KEMAMAN - Mahkamah membenarkan tahanan reman terhadap 10 remaja lelaki berhubung dakwaan kes rogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dilanjutkan selama empat hari lagi bermula esok. Perintah reman sehingga 17 Disember terhadap suspek berusia 13 hingga 19 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Kemaman, Masni Hajar Ghazali. Kesemua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.24 pagi dengan diiringi anggota polis. Kesemua suspek sebelum ini direman lima hari bermula 9 Disember lalu sebelum dilanjutkan bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan. Terdahulu, mangsa yang juga murid Tahun Enam mendakwa dirogol kumpulan lelaki termasuk seorang kenalan yang baharu dikenali selama dua hari menerusi aplikasi WhatsApp dalam kejadian jam 4 petang pada 6 Disember hingga awal pagi 7 Disember lalu. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan laporan dibuat, kanak-kanak itu mendakwa dirogol oleh kumpulan remaja lelaki di dua buah kediaman berasingan yang terletak dua kilometer (km) antara setiap sebuah kediaman. Katanya, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan di Hospital Kemaman, di sini mendapati terdapat kesan koyakan pada alat sulit mangsa.