Hina Anwar: AMK desak Akmal Nasrullah letak jawatan

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir meletak jawatan kerana didakwa menghina Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, tiada sebarang permohonan maaf atau penjelasan diberikan oleh pimpinan yang terlibat terutama Akmal Nasrullah.

Terdahulu, tular melalui WhatsApp mengenai perbualan Akmal Nasrullah, Setiausaha AMK Syukri Razab, Thiban Subbramaniam serta beberapa pimpinan tertinggi AMK mencaci serta mempersenda Anwar.

“Setelah meneliti perbualan tersebut dapat disimpulkan bahawa mereka yang terlibat dalam perbualan tersebut tidak berpuas hati dengan Presiden dan cuba melanggar arahan Parti dalam beberapa isu yang dilontarkan.

“Tindakan ini dilihat sebagai cara membelakangkan Presiden dan pengkhianatan terhadap parti.

“Kami Exco AMK menuntut Akmal Nasrullah dan beberapa pimpinan lain yang terlibat segera meletakkan jawatan kerana mereka telah hilang keyakinan dari akar umbi AMK khususnya pucuk pimpinan PKR,” katanya.

Kenyataan bersama itu membabitkan Naib Ketua AMK Malaysia, Jestin Raj Savarimuthu serta Exco AMK Malaysia lain iaitu Khairul Anuar Musa, Ong Jing Cheng, Muhammad Aiman Aizuddin Md Husin, Sarawanan Selvarajoo dan Muhammad Affendi Malik.

Menurut kenyataan itu lagi, satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan AMK Malaysia perlu diadakan segera bagi memastikan transisi kepimpinan dan imej parti pulih selepas penghinaan yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, hasil daripada mesyuarat khas itu akan dibawa ke Majlis Pimpinan Pusat untuk tindakan lanjut seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!