Penuntut, doktor kena tipu penjual dalam talian

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang penuntut kolej swasta ditipu hingga menyebabkan kerugian RM4,870 gara-gara hendak membeli permainan video PlayStation 5 (PS5) dengan harga murah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 18 tahun itu melihat produk berkenaan dijual dalam aplikasi e-dagang sebelum menghubungi penjualnya melalui aplikasi whatsApp.

Menurutnya, mangsa diyakinkan oleh penjual yang tidak dikenali itu selain diberikan gambar-gambar konsol berkenaan.

“Tertarik dengan tawaran harga yang dijual jauh lebih rendah berbanding harga pasaran, mangsa membuat bayaran ke akaun persendirian milik suspek sebanyak RM3,351.

“Bagaimanapun sehari kemudian, mangsa menerima panggilan mendakwa daripada kurier yang meminta dia menjelaskan sebanyak RM1,519 bagi melepaskan barang itu kerana kononnya dihantar dari luar negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Noorzainy berkata, tanpa berfikir panjang remaja itu terus membuat bayaran namun dia sekali lagi menerima panggilan kononnya daripada Kastam yang meminta bayaran tambahan untuk melepaskan barang tersebut.

"Mangsa yang kehabisan wang mula menyedari ditipu penjual dalam talian tersebut sebelum membuat laporan polis,"katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang doktor di Kepala Batas dekat sini kerugian sebanyak RM10,800 selepas menjadi mangsa sindiket jualan dalam talian tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

Katanya, wanita berusia 36 tahun itu tertarik melayari laman sosial Instagram yang menjual beg tangan berjenama pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.

“Mangsa membuat dua bayaran selepas berhubung dengan seorang perempuan bagi urusan pembelian beg tangan itu.

“Namun mangsa berasa ditipu kerana masih belum menerima beg tangan yang dibeli selepas tamat tempoh penghantaran selain suspek turut memberi pelbagai alasan ketika ditanya berkenaan nombor penghantaran kurier,” katanya.

Noorzainy berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!