ADUN Bersatu akui tandatangan awal SD sokong Saarani
IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengaku memberi sokongan kepada Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak lebih awal berbanding ADUN Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang lain.
Menurutnya, akuan bersumpah (SD) yang menyokong Saarani itu ditandatangani selepas sahaja usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak gagal mendapat sokongan majoriti ADUN di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Disember lalu.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat lebih awal kerana percaya kesemua ADUN Bersatu dan UMNO akan tetap menandatangani SD menyokong ADUN Kota Tampan itu menjadi Menteri Besar Perak yang baharu.
“Pengakuan saya ini untuk meredakan ketegangan antara dua parti, Bersatu dan juga UMNO. Setiausaha Agung Bersatu dalam kenyataannya semalam beliau akan menunggu bukti daripada UMNO, yang akan menunjukkan bahawa saya menyokong Datuk Saarani.
“Pada saya, tak perlu menunggu UMNO memberi bukti, saya hari ini mengaku secara rasmi menandatangani SD (sokong) Datuk Saarani," katanya dalam kenyataan kepada Astro Awani, hari ini.
Pada 8 Disember lalu, Hasnul Zulkarnain menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berseorangan bagi menyerahkan SD menyokong Saarani sebagai Menteri Besar Perak.
Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain turut mengakui mendapat tempat di dalam Bersatu Perak dan di peringkat bahagian.
"Saya tidak diberi ruang oleh Bersatu sama ada di peringkat negeri atau bahagian untuk terlibat secara langsung dalam gerak kerja parti politik.
"Itu menggambarkan saya seolah tidak diperlukan dalam parti Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menentukan keahliannya sebagai anggota Bersatu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!