Kerajaan PN usaha pemulihan Felda demi peneroka: Muhyiddin
MUAR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyifatkan usaha untuk memulihkan kembali Felda sebagai langkah penting dalam mengembalikan semula hak lebih dua juta peneroka Felda dalam negara.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, apabila kerajaan PN mengambil alih tampuk pentadbiran negara antara tumpuan utamanya ialah memulihkan agensi berkenaan.
“Ini bukan satu masalah kecil dan kerajaan mesti ambil satu langkah yang boleh menyelamatkan, untuk mengembalikan semula hak peneroka yang sebenar.
“Kalau tanah itu milik mereka, kita akan bagi kepada mereka. Kalau dahulunya dijadikan syarikat awam, kita akan kembali menjadikannya syarikat persendirian,” katanya di Felda Sri Jaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama kepimpinan masyarakat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai, Bukit Serampang, di sini.
Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata pelbagai langkah pemulihan telah dirancang menerusi Pasukan Petugas Khas Felda yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar dan turut disertai Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh, untuk memulihkan Felda.
“Saya beritahu kepada mereka apabila kita (kerajaan) terpaksa membantu untuk memulihkan keadaan dan mengembalikan semula hak peneroka Felda, maka kita hendak lihat dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama, Felda ini akan memberikan keuntungan.
“Mereka berjanji pada saya, mulai 2023, Felda akan kembali untung seperti dahulu. Alhamdulillah,” katanya.
Pada 28 Oktober lepas, Kabinet telah meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dibentangkan oleh Pasukan Petugas Khas.
Antara cadangan yang dikemukakan oleh pasukan petugas khas itu termasuklah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan meningkatkan daya berdikari peneroka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!