House brand pilihan utama pengguna

A
A
A

TAWARAN hebat akhir tahun yang menggunakan pendekatan jualan atas talian 12/12 sedang berjalan masa kini sehingga menjadi fenomena. Ramai yang tidak sedar bahawa kebanyakan barangan sama ada jualan atas talian atau di pasar raya merupakan produk tempatan hasil kerja anak tempatan.

House brand atau jenama sendiri, dikeluarkan oleh pasar raya besar bagi memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga berpatutan.

Hakikatnya, lambakan produk buatan tempat di pasaran pelbagai jenama yang boleh didapati dengan mudah. Pengguna juga pasti biasa melihat label produk yang menjadi identiti kepada tempat yang menjual produk. House brand keluaran pasar raya utama ternyata menjadi pilihan pengguna.

Untuk rekod, sebanyak 60 peratus daripada barangan telah dihasilkan oleh pembekal tempatan dan sebilangan besar daripada barangan ini dilabel dan dipasarkan di bawah jenama pasar raya. Sebanyak 84 peratus penjualan yang dihasilkan untuk barangan berjenama pada akhir tahun kewangan 2019 datang daripada produk buatan tempatan.

Ini sesuai dengan slogan kempen ‘Cintailah Produk Malaysia’ supaya rakyat menyokong, memilih dan membeli barangan buatan Malaysia. Produk jenama sendiri terbukti mempunyai kualiti sama seperti jenama lain dan ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus lebih rendah berbanding harga biasa.

Permintaan produk jenama sendiri setara dengan produk lain kerana memberi lebih nilai, kualiti dan penjimatan. Pelanggan juga mempunyai jaminan untuk penukaran produk atau wang dikembalikan sekiranya mereka tidak berpuas hati terhadap produk jenama sendiri.

Melalui pendekatan jenama sendiri kebanyakan pasar raya memasarkan produk pengeluaran produk tulen dengan jenama sendiri mengikut kesesuaian produk. Antara produk jenama sendiri yang popular dalam kalangan pengguna seperti jenama barangan runcit, makanan dan minuman,produk segar, gaya hidup serta alat tulis dan kelengkapan rumah.

Lebih membanggakan produk bayi di bawah jenama tempatan telah dihasilkan di Malaysia dan memenuhi standard dari pada United Kingdom dan negara Eropah.

Artikel Berkaitan:

Malah, produk berkenaan untuk memenuhi perspektif pelanggan dan permintaan peruncit. Melalui cara ini perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membekalkan produk dengan jumlah yang besar, penjimatan kos pemasaran dan latihan termasuk bimbingan. Maka, produk jenama sendiri ini sebenarnya membantu pengguna terutamanya golongan B40 dan M40 menjimatkan perbelanjaan dan peniaga juga dapat membeli dengan harga borong.

Jenama sendiri ini diperkenalkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan produk segar, berkualiti tinggi dan cita rasa berbeza dengan harga yang berpatutan. Alternatif

Jenama sendiri diwujudkan bagi memberi alternatif kepada pengguna dan juga peluang pemilikan perniagaan strategik kepada usahawan dalam usaha untuk meningkatkan pegangan ekonomi kaum Muslim.

Pemain industri runcit disarankan untuk menghasilkan pelbagai produk house brand mereka sendiri dalam usaha menyokong secara berterusan Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan sejak tahun 1984.

Penghasilan jenama sendiri ini mampu memberi pilihan terbaik dengan penjimatan sehingga 20 peratus kepada pengguna dalam membeli barangan keperluan.

Penghasilan produk jenama sendiri ini adalah satu idea yang sangat baik kerana pengusaha tidak perlu terlalu fokus berbelanja untuk pengiklanan dan tidak timbul masalah pemulangan semula produk. Jadi ini yang menjadi faktor kepada penurunan harga.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan pelbagai bantuan kepada pengusaha produk tempatan dalam mengembangkan pasaran mereka antaranya program transformasi produk.

Menjadi harapan KPDNHEP agar lebih ramai pengusaha produk tempatan di negara ini merebut peluang menerusi program transformasi produk bagi membolehkan produk mereka menembusi pasaran pasar raya asing dan berdiri setanding dengan produk luar negara.

Jenama sendiri memberi alternatif kepada pengguna dan mampu mengubah ekosistem ekonomi. Rakyat Malaysia perlu membeli barangan buatan usahawan tempatan sebagai usaha menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!